Hanya Anwar dapat laksana janji Pakatan, kata ahli Parlimen


Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Selayang William Leong berkata Majlis Presiden PH perlu mempercepatkan proses peralihan kuasa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Januari, 2020.

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) perlu mempercepatkan proses peralihan kuasa kerana hanya Anwar Ibrahim dapat memenuhi janji manifestonya, kata Ahli Parlimen Selayang William Leong.

“Wong Chen, Rafizi (Ramli), Dr Rais (Husin), Dr Ong Kian Ming, Tony Pua – ini pasukan yang menulis manifesto itu dan tiada satu pun antara mereka adalah menteri.

“Mereka yang faham tidak ada dalam Kabinet. Mereka yang tidak membaca manifesto ada dalam Kabinet dan itu sebabnya mereka kata sukar melaksanakannya,” katanya pada satu forum malam tadi.

Leong menjawab soalan mengapa PH lambat memenuhi janji manifesto dan kenapa ahli Parlimen bercakap mengenai isu peralihan kuasa itu dalam forum awam.

“Kita ada perdana menteri yang menunjukkan beliau tidak percaya dengan manifesto itu dan itu sebabnya perlu untuk kita membuat perubahan untuk peralihan kuasa kepada mereka yang percaya dan Kabinet yang mempercayainya,” kata Leong.

Leong antara tiga lagi ahli Parlimen PKR yang mendesak Anwar mengambil alih jawatan perdana menteri pada Mei, bukannya selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik pada akhir tahun ini.

Bersama Leong malam tadi pada forum bertajuk “Perlukah Malaysia tunggu hingga November untuk peralihan kuasa?” ialah Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen dan Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang. Turut hadir ialah Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi daripada DAP.

Leong berkata tidak boleh diterima apabila Dr Mahathir berkata beliau tidak dapat melaksanakan semua janji manifesto.

“Itu yang rakyat undi dan itu yang kita mahu ingatkan majlis presiden dan mereka yang memutuskan supaya kita tunggu untuk berubah.

“Ini yang kita bangkitkan dan tidak ada beza apa yang berlaku dalam Barisan Nasional dan sekarang PH. Perubahannya hanya hapuskan rejim kloptokratik,” katanya. – 14 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen