SESETENGAH bekas ahli Umno yang menyertai Bersatu selepas pilihan raya umum lalu akan dibenarkan bertanding pada pemilihan parti akan datang, kata Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi Bersatu itu berkata, walaupun terdapat peraturan yang menghalang mereka daripada bertanding, menurutnya terdapat pengecualian.
“Menurut peraturan, mereka tidak boleh bertanding tetapi kita memang berikan pengecualian untuk beberapa kes, seperti mereka yang tidak terlibat dengan sebarang perlakuan jenayah,” katanya selepas melawat depot rel Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd di Serendah, Hulu Selangor hari ini.
Perdana menteri bagaimanapun tidak menamakan sesiapa ketika ditanya sekiranya pengecualian itu termasuk Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed, yang meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu pada Oktober, 2018.
Beliau berkata, bekas ahli Umno yang kini memegang jawatan di cawangan dan bahagian Bersatu, dibenarkan bertanding walaupun menjadi ahli tidak sampai setahun.
“Secara umumnya mereka tidak dibenarkan tetapi mungkin ada beberapa kes khas, yang kita akan pertimbangkan,” kata Dr Mahathir.
Calon yang mahu bertanding di peringkat bahagian perlu mendaftar pencalonan mereka kepada pegawai jawatankuasa pemilihan parti di pejabat bahagian masing-masing pada 26 Januari bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang. – 13 Januari, 2020.
Komen