Polis belum tutup kes video seks Sandakan, kata ketua polis negara


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador kes akan diteruskan sekiranya terdapat bukti baru.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Januari, 2020.

POLIS belum menutup siasatan kes ramakan video seks di Sandakan, Sabah yang dikaitkan dengan menteri kabinet Mohamed Azmin Ali walaupun peguam negara memutuskan tiada pendakwaan setakat ini.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata polis kini menunggu sebarang bukti baru selepas dua firma yang dirujuk semasa siasatan sebelum ini gagal mengesahkan dengan mutlak identiti dua lelaki dalam rakaman itu.

“Kes tidak tutup. Kalau ada bukti baru kita akan teruskan. Setakat ini kita biarkan begitu.

“Dua firma antarabangsa yang kita rujuk tidak dapat mengesahkan identiti lelaki dalam video kerana resolusi yang rendah.

“Sama juga dengan firma yang digunakan oleh pihak lain yang melihat kes ini. Mereka tidak dapat pastikan identiti kerana resolusi video rendah,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Minggu lalu, Peguam Negara Tommy Thomas mengumumkan tiada pendakwaan jenayah akan dikenakan terhadap mana-mana pihak berhubung rakaman video seks yang dikaitkan dengan ahli politik selepas siasatan pakar dalam dan luar negara tidak dapat mengenal pasti dengan muktamad identiti pelakunya.

Thomas juga berkata kes boleh dibuka semula sekiranya ada bukti baru.

Pada 11 Jun lalu, bekas pemimpin Pemuda PKR Santubong, Sarawak Mohamad Haziq Abdul membuat pengakuan beliaulah lelaki dalam rakaman video yang tersebar melalui WhatsApp pada awal hari itu.

Beliau juga mendakwa Azmin adalah pasangannya, dan kemudian mendedahkan hubungan mereka sudah berlangsung beberapa kali sejak 2016.

Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, keras menafikan tuduhan dan menyifatkannya sebagai perancangan jahat untuk memusnahkan masa depan politiknya. – 13 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen