Polis akan ambil keterangan Latheefa berhubung rakaman Najib


Alfian Z.M. Tahir

Polis akan mengambil keterangan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berhubung rakaman audio yang didedahkan sebelum ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2020.

POLIS akan memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya untuk diambil keterangan berhubung sembilan rakaman audio yang didedahkan agensi anti-rasuah itu.

Rakaman berkenaan menunjukkan bekas perdana menteri Najib Razak dan beberapa individu lain berbincang bagaimana untuk menutup maklumat melibatkan 1Malaysia Development Berhad.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, tujuan mengambil keterangan Latheefa adalah untuk pihak polis menentukan bagaimana agensi anti-rasuah itu mendapat rakaman berkenaan dan sama ada ianya tulen atau sebaliknya.

“Kita akan memanggil beliau untuk diambil keterangan. Kita mahu tahu bagaimana SPRM dapat klip berkenaan, siapa yang berikan dan adakah ianya tulen,” katanya pada sidang media hari ini.

Hamid turut mengesahkan polis menerima kesemua sembilan rakaman audio berkenaan.

“Kita sudah daoat semua. Ia akan ambil masa untuk siasat perkara ini.”

SPRM pada Khamis lalu mendedahkan sembilan rakaman audio pada satu sidang media.

Pada sidang media berkenaan Latheefa mendakwa rakaman berkenaan diberikan selepas tahun baharu dan tidak mendedahkan siapa yang berikannya.

Rakaman berkenaan adalah perbualan melibatkan Najib, isterinya Rosmah Mansor, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad, bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas setiausaha sulit Najib, Shukri Salleh, bekas pegawai khasnya Amhari Efendi Nazaruddin, Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan dan CEO Mubadala Development, Khaldoon Mubarak.

SPRM berkata, rakaman berkenaan jelas menunjukkan wujudnya salah guna kuasa, konspirasi, pembuatan bukti palsu dan kebocoran rahsia negara.

Namun agensi anti-Rasuah itu dibidas oleh beberapa peguam, termasuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla, ketua biro undang-undang DAP Ramkarpal Singh dan Sangeet Kaur Deo.

Pendedahan rakaman itu kepada umum terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan, kebolehterimaannya di mahkamah dan hak untuk isu privasi juga dibahaskan oleh rakyat Malaysia.

Malah ada yang berpendapat SPRM melakukan tindakan yang betul selari dengan kepentingan awam dan ketelusan berhubung isu nasional yang dibincangkan dalam rakaman berkenaan oleh penjawat awam.– 13 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen