Zainal Abidin tarik balik saman, selesai luar mahkamah


Nabihah Hamid

Acara penutup temasya Sukan Sea 2017 turut membariskan nama-nama besar industri seni tanah air untuk membuat persembahan.– Gambar Youtube, 3 November, 2017.

PENGURUSAN Zainal Abidin menarik balik saman terhadap Memories Entertainment selepas menerima bayaran baki persembahan penutup Sukan SEA 2017 pukul 9 pagi tadi.

Pengurus penyanyi itu, Angelina Asmawi berkata, kedua-dua pihak bersetuju perkara itu kini sudah selesai dan mereka saling bermaaf-maafan atas apa yang berlaku. 

“Pihak pengurusan dah hubungi saya tadi dan beritahu mereka dah masukkan (baki bayaran) ke dalam akaun. 

“Mereka sangat sedih dengan apa yang jadi. Jadi kita tak nak teruskan tindakan saman. Saya beritahu jika mereka terus berhubung (sebelum ini) perkara (saman) tak akan jadi.

“Masing-masing minta maaf dan saya pun minta maaf dengan perkara yang berlaku. Saya sudah arahkan peguam untuk tarik balik saman serta-merta,” katanya kepada The Malaysian Insight melalui WhatsApp. 

Afro Inang Worldwide sepatutnya memfailkan saman di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pukul 11 pagi ini melalui firma guaman Thomas Philip.

Saman itu bagi menuntut baki RM14,000, yang merupakan baki 50% bayaran tertunggak bayaran persembahan penyanyi ‘Hijau’ itu pada acara penutup Sukan SEA 2017.

Angelina dalam pada itu sedang memeriksa dengan pihak bank mengenai bayaran tersebut. 

“Saya sedang update dengan bank untuk tanya bayaran. Mereka (pengurusan) kata dah masukkan duit,” katanya lagi. 

Isu ini tercetus selepas pengacara Adibah Noor mendedahkan melalui Twitter nasib artis yang masih belum menerima baki bayaran akhir tersebut.

Beberapa jam selepas Perdana Menteri Najib Razak membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas, Adibah menulis: “Agak sedih, dan sakit hati juga, mendengar keluhan kawan-kawan yang perform masa closing Sea Games hari tu masih belum dapat bayaran.”

Tulisan Adibah itu kemudian mendedahkan lebih banyak rungutan sama daripada mereka yang terlibat dengan acara penutup temasya sukan serantau dwitahunan itu dan juga mendakwa mereka pun belum dapat bayaran. 

Dalam pada itu, Berita Harian melaporkan Jawatankuasa Pengelola Malaysia Kuala Lumpur 2017 (MASOC) yang melantik syarikat tersebut kecewa dengan isu yang berbangkit ini.

MASOC sudah membayar lebih 70% daripada nilai kontrak syarikat yang dilantik, menerusi proses tender Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengendalikan upacara perasmian dan penutup kedua-dua temasya berkenaan pada 28 Ogos lalu.

Penganjur bagaimanapun menetapkan sasaran melunaskan semua bayaran kepada pihak yang dilantik selewat-lewatnya sehingga akhir November ini.  – 3 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen