SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan menghantar laporan sempadan baru kawasan pilihan raya kepada perdana menteri hanya selepas semua kes mahkamah berkaitan perkara itu diselesaikan.
Pengerusi SPR Mohd Hashim Abdullah berkata laporan penuh itu akan mengandungi cadangan sempadan baru semua negeri termasuklah Selangor, yang kini dalam pertikaian undang-undang dengan agensi pilihan raya itu.
Kenyataan Hashim itu bermakna laporan persempadanan semula kawasan pilihan raya berkemungkinan besar tidak akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang dan akan berakhir pada 30 November nanti.
Kes Selangor melawan persempadanan semula SPR akan didengar di mahkamah tinggi pada 6 Disember.
“Selepas kes berkaitan persempadanan semula melibatkan Selangor diputuskan dan dimuktamadkan oleh mahkamah dan SPR sudah menyempurnakan proses penyempadanan kawasan pilihan raya,” kata Hashim dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight.
“…(Selepas) laporan itu disiapkan di Semenanjung (termasuk Selangor), barulah suruhanjaya akan menghantar laporan akhir kepada perdana menteri untuk tindakan seterusnya.”
Persempadanan semula yang bermula pada 2016 mencetuskan banyak kontroversi dan bantahan daripada kumpulan perubahan pilihan raya dan pembangkang, Pakatan Harapan.
Mereka mendakwa persempadanan itu membentuk polarisasi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Ahli Parlimen di Selangor mendakwa persempadanan semula itu memberikan kelebihan kepada pemerintah, Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk merampas kembali negeri itu.
Kerajaan Selangor mengheret SPR ke mahkamah berkaitan persempadanan semula di negeri itu. Ia juga cuba memfailkan injuksi menghalang SPR menghantar laporan persempadanan semula kepada perdana menteri.
Pada 30 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan untuk menolak permohonan injuksi kerajaan Selangor itu, sekaligus membatalkan keputusan mahkamah tinggi yang sebelum itu memihak kepada Selangor.
Keputusan Mahkamah Rayuan itu mencetuskan spekulasi yang SPR akan menghantar laporannya tanpa melibatkan persempadanan semula di Selangor kepada Perdana Menteri Najib Razak untuk dibentangkan di Dewan Rakyat. – 3 November, 2017.
Komen