Yayasan Myskill bantu selamatkan remaja berisiko


Ravin Palanisamy

Yayasan Myskill memberikan remaja yang digelar sebagai “remaja berisiko”, satu peluang untuk mengubah hidup mereka, kata CEO yayasan itu Devasharma Gangadaran. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 16 Januari, 2020.

REMAJA bermasalah terutama yang datang dari kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) biasanya dihina, dipulaukan dan berdepan peminggiran sosial kerana sikap antisosial mereka.

Kebanyakan masanya, kebanyakan remaja ini bergelut untuk mencari tempat dalam masyarakat.

Di sinilah, Yayasan Myskill, satu organisasi bukan kerajaan bertindak memberikan remaja yang digelar sebagai “remaja berisiko”, satu peluang untuk mengubah hidup mereka, kata CEO yayasan itu Devasharma Gangadaran.

Mereka melakukannya dengan memberikan remaja terbabit kemahiran yang dapat meningkatkan status sosial-ekonomi mereka.

Devasharma berkata remaja berisiko di bawah jagaan yayasan itu mempunyai banyak masalah latar belakang dan daripada keadaan yang sangat sukar.

Katanya, kebanyakannya ada banyak isu, seperti daripada keluarga yang rosak atau gelandangan.

Mereka mungkin dibuang sekolah atau tinggal dalam persekitaran yang sesak dan tidak selamat, terdedah kepada gengsterisme dan tabiat yang boleh mengancam nyawa, katanya.

Beliau berkata mengenal pasti dan masuk campur dapat kehidupan kumpulan remaja ini pada awal usia, amat penting kerana dengan cara itu lebih mudah untuk mengubah mereka.

“Lebih awal kami kenal pasti iaitu idealnya mereka yang berusia 12 hingga 14 tahun, lebih mudah untuk mengubah mereka, kerana masih muda.

“Mereka yang 15 tahun ke atas cenderung untuk lebih memberontak kerana sudah agak dalam termasuk ke kancah masalah atau apa juga aktiviti yang mereka terbabit. Tetapi kami masih cuba,” kata Devasharma kepada The Malaysian Insight.

Ketika ditanya kenapa kebanyakan remaja dari kawasan miskin bandar tidak bersaing sama rata dengan kumpulan pertengahan dan atasan untuk berjaya, Devasharma berkata masalah biasanya bermula di sekolah.

Katanya, sistem di sekolah menilai pelajar berdasarkan kepada keputusan peperiksaan dan bukan kemahiran.

Remaja PPR berdepan risiko terlibat pelbagai masalah sosial menyebabkan banyak usaha dibuat untuk melibatkan mereka dalam aktiviti produktif. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 Januari, 2020.

Beliau memuji langkah diambil bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik untuk memansuhkan peperiksaan bagi sekolah rendah dan agihan aliran bagi pelajar tingkatan empat.

Bagaimanapun, katanya lebih banyak sekolah sepatutnya mengguna pakai Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk pelajar yang kurang berjaya dalam akademik.

“Sebahagian pelajar susah untuk faham subjek di sekolah. Ibu bapa berpendapatan sederhana dan tinggi mampu untuk menghantar anak tuisyen tetapi yang miskin tidak boleh. Akhirnya kemampuan mereka dinilai berdasarkan markah peperiksaan.

“Mereka mungkin tidak berminat belajar tetapi sekolah jarang untuk mengenal pasti kemahiran mereka dan memperkasakannya. Jadi, kebanyakan pelajar hilang minat, dan rasa tidak dapat beri sumbangan. Jadi, mereka keluar.

“Kemiskinan keluarga kemudian akan berterusan. Ibu bapa mungkin tiada pendidikan, dan sekarang anak pun sama. Jadi, pusingan hidup dalam kemiskinan itu berulang,” katanya. Devasharma berkata sejak 2010, yayasan itu berusaha untuk menyediakan kehidupan baharu untuk remaja bermasalah dan menyaksikan ramai yang berjaya berubah.

Katanya, mereka diberikan latihan kursus dalam bidang elektrik, mekatronik, perkeranian dan memasak kek.

Penghujung 2018, seramai 120 pelajar di yayasan itu berpindah ke bangunan baharu kampus di Kalumpang, Hulu Selangor.

“Kami berpindah ke kampus baharu di mana semua kerja penyelenggaraan dilakukan pelajar kami,” katanya, menambah sebagai saja blok asrama perempuan siap, pelajar perempuan akan turut berpindah.

Selain kemahiran vokasional, yayasan itu menawarkan kerjasama perniagaan untuk remaja – De Devine Cafe di Jalan Scott, Brickfields, My FreshFarm (menjual produk organik) dan MyMoringa (pembuatan dan penjualan kapsul moringa).

Devasharma berkata dengan perniagaan sosial itu, remaja dapat belajar untuk percaya diri, ada keyakinan diri yang tinggi dan yakin yang mereka mampu mencapai kejayaan dalam hidup.

Walaupun mereka tidak dapat membantu semua remaja berisiko di negara ini, Devasharma berkata mereka komited untuk membantu dan mengubah hidup remaja yang datang ke yayasan itu untuk dibantu berdepan cabaran dunia pekerjaan dan mengakhiri kemiskinan mereka. – 14 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen