KURANG bimbingan ibu bapa, pengaruh negatif rakan sebaya dan kawasan kejiranan yang teruk antara sebab golongan muda yang tinggal di projek perumahan kos rendah terbabit dalam aktiviti antisosial.
Selain itu, mereka berkata kemiskinan serta kurang pendidikan dan peluang penyebab nasib malang mereka.
Persekitaran yang buruk ini, kata mereka menyebabkan mereka terus berada dalam keadaan ini walaupun ada sebahagian daripada mereka cuba untuk melepaskan diri daripada belenggu itu.
Muhammad Daniesh, 16, yang tinggal di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pantai Dalam, Kuala Lumpur berkata kurang bimbingan ibu bapa dan pengaruh rakan adalah punca utama kenapa remaja di kawasan itu gagal dalam hidup.
Katanya, kebanyakan ibu bapa tidak meluangkan masa bersama anak kerana terlalu sibuk bekerja atau mencari pendapatan tambahan untuk menyara keluarga.
Beliau berkata dalam keadaan itu, anak biasanya menghabiskan masa di luar rumah dan mudah terpengaruh dengan rakan, malah mengaku beliau adalah antara yang seperti itu.
“Kebanyakan ibu bapa bekerja, seperti ibu bapa saya. Bila habis waktu sekolah dan balik rumah, tiada siapa jaga kami. Jadi, kami habiskan masa dengan rakan dan buat apa saja mereka buat.

“Kalau ibu bapa kami balik kerja pun, biasanya mereka sudah penat. Mereka kena masak, buat kerja di rumah dan kena siap sedia untuk kerja esok harinya. Ada juga ibu bapa buat kerja separuh masa untuk pendapatan tambahan.
“Memandangkan kami ada banyak masa lapang, kami melepak dengan rakan dan ada masanya kami balik rumah lepas 11 malam. Biasanya ibu bapa kami tidak tanya pun.
“Jadi, dalam keadaan seperti itu, siapa yang ada untuk bimbing kami?,” katanya kepada The Malaysian Insight, sambil menyalakan api rokok ketika ditemui melepak dengan sekumpulan rakannya di tempat letak motosikal di blok rumahnya.
Ditanya adakah ibu bapanya tahu dia merokok, katanya mereka tidak tahu tetapi berkata remaja lain ada yang buat lebih teruk daripada merokok.
Katanya, sesetengah belia di kawasan itu ambil dadah, dan ada kalanya mencuri untuk membeli dadah.
Memilih kelompok kawasan di kawasan itu, katanya sangat penting kerana ada sebahagiannya akan menyebabkan mereka terjebak dalam aktiviti ekstrem dan jenayah. – 16 Januari, 2020.
Komen