KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata hubungan kerajaan negeri dengan Putrajaya ditadbir Pakatan Harapan “bukanlah masalah besar” dalam usaha Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.
Sarawak ditadbir gabungan empat bekas parti komponen Barisan Nasional yang kini bergabung menjadi Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang bukan sekutu PH.
Walaupun terdapat kemarahan dalam pelbagai isu termasuklah dasar baharu kerajaan persekutuan terhadap Sarawak, tuntutan negeri mahukan lebih banyak kuasa autonomi, penghakisan hak selaku rakan setara Malaysia serta pendapatan dan perolehan sumber minyak dan gas asli, ketua menteri berkata hubungan dengan kerajaan pusat “masih boleh diuruskan”.
Dalam wawancara khas menyambut tahun ketiganya mentadbir hari ini, katanya, sejarah hubungannya dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyebabkan beliau mempunyai asas baik untuk mengendalikan situasi sekarang.
“Awak kena ingat, saya pernah berkhidmat dengan Dr Mahathir,” kata Abang Johari yang dilantik sebagai pembantu menteri pada pentadbiran Ketua Menteri Sarawak yang ke-4 Abdul Taib Mahmud pada 1987. Dr Mahathir ketika itu adalah perdana menteri daripada BN, mentadbir sejak 1981 sehingga 2003.
Tambahnya, beliau tidak merasakan akan wujud masalah jika Sarawak ditadbir parti bukan sekutu PH sekiranya Putrajaya menghormati konsep persekutuan.
“Kita boleh mentadbir diri sendiri jika kita (Sarawak dan Putrajaya) boleh bekerja dalam konsep persekutuan.
“Saya tak bercakap tentang kemerdekaan. (Saya bercakap) Dalam aspek pentadbiran dalam konteks persekutuan.”
Kerana itu, jelasnya lagi, persoalan mengenai pemecahan kuasa perlu dibincangkan.
“Perlu ada pemecahan kuasa yang jelas.”
Abang Johari berkata pemecahan kuasa daripada kerajaan pusat kepada kerajaan negeri atau wilayah, sudah dibuktikan berjaya seperti berlaku di Jerman, Itali malah di negara komunis, China.
Tambahnya, Sarawak akan menjadi lebih baik sekiranya ditadbir oleh “mereka yang tahu keperluannya.” – 13 Januari, 2020.
Komen