Kita dapat semula hak jika Putrajaya ikut peraturan, kata Abang Johari


Desmond Davidson

Pada 2018, Petronas memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa mengikut PDA, syarikat itu merupakan pemilik eksklusif kepada sumber petroleum di negara ini termasuk Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2020.

SARAWAK akan kembali mendapat hak dan hasil pendapatan dari sumber minyak serta gas dengan adil jika kerajaan persekutuan mengikut undang-undang, kata Abang Johari Openg.

Tanpa menyatakannya, ketua menteri Sarawak itu dengan jelas menunjukkan negeri itu tidak perlu mengiktiraf Akta Pembangunan Petrolem (PDA) 1974 apabila mengatakan beliau mahu memastikan pertikaian itu diselesaikan mengikut rangka kerja undang-undang negeri itu.

Beliau merujuk kepada Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 yang telah dipinda pada tahun lalu untuk mengukuhkan kuasa kawal selia Sarawak terhadap sumber gas dan minyak di negeri itu.

PDA yang disokong oleh ahli Parlimen Sarawak, memberi hak sepenuhnya kepada Petronas untuk meneroka dan mengeksploitasi petroleum sama ada di darat atau luar pesisir di mana sahaja di negara ini.

Bagaimanapun, Abang Johari berkata PDA tidak boleh dikuatkuasakan secara sah di Sarawak kerana badan perundangan negeri itu tidak pernah mengiktiraf undang-undang itu untuk diperluaskan ke negeri itu.
 
“Kuasa pengawalseliaan minyak dan gas perlu berdasarkan Ordinan Minyak dan Minyak kami,” katanya ketika menjawab soalan tentang perkembangan isu pertikaian hasil minyak dan gas dengan Putrajaya.

“Sudah pasti ada pihak yang mungkin tidak bersetuju,” katanya merujuk kepada Petronas.

“Tetapi kami akan meneruskannya kerana kami percaya pada ketuanan undang-undang kami dan perlembagaan (persekutuan) kita. Saya meneruskannya mengikut rangka undang-undang.
 
“Perlembagaan kita paling tinggi,” katanya pada sesi wawancara khas sempena tahun ketiga mengetuai kerajaan Sarawak.

Pada 2018, Petronas memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa mengikut PDA, syarikat itu merupakan pemilik eksklusif kepada sumber petroleum di negara ini termasuk Sarawak.

Petronas memfailkan permohonan itu kepada Mahkamah Persekutuan.

Syarikat cari gali itu juga memohon pengisytiharan mengenai PDA sebagai undang-undang yang terpakai bagi industri petroleum di Malaysia dan juga menyatakan Petronas adalah pemilik eksklusif sumber petroleum serta pengawal selia untuk industri huluan di seluruh Malaysia, termasuk di Sarawak.

Namun Mahkamah Persekutuan menolak permohonan itu.

Petronas sekali lagi ke mahkamah untuk mencabar cukai 5% yang dikenakan oleh kerajaan negeri terhadap produk petroleum syarikat itu.

Firma itu juga memohon semakan kehakiman bagi membatalkan Notis Penilaian terhadap Petronas untuk membayar lebih RM1.3 bilion.

Jumlah RM1.3 bilion itu adalah bayaran SST tidak dijelaskan dan denda terkumpul setakat 30 Jun tahun lepas.

SST diluluskan DUN Sarawak pada 2018 dan berkuatkuasa pada 1 Januari 2019.

Walaupu syarikat minyak lain yang beroperasi di negeri itu sudah mula membayar cukai tersebut, Petronas masih enggan mengalah.

Pengawal Cukai Jualan Negeri memfailkan writ saman dan notis tuntutan terhadap Petronas dengan pendaftar Mahkamah Tinggi Kuching pada 21 November 2019.

Mahkamah dijadualkan mendengar sebilangan permohonan Petronas esok (14 Januari).

“Ada yang bayar, ada yang tidak dan kita biarkan mahkamah untuk putuskan.”

Abang Johari berkata usaha mendapatkan pendapatan dan perolehan minyak dan gas yang lebih besar adalah sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri 2016. – 13 Januari, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen