JAGUH tenis dunia Serena Williams mendermakan wang kemenangannya AS$43,000 untuk membantu operasi memadamkan kebakaran di Australia selepas menang dalam kejohanan WTA Auckland Classic.
Pemain berusia 38 tahun itu meraih kemenangan pertama dalam tempoh tiga tahun dan berasa teruja untuk meraikannya dengan membantu rakyat Australia.
“Saya sudah bermain di Australia lebih 20 tahun dan sukar untuk saya melihat berita tentang kebakaran yang berlaku di negara ini.
“Ramai yang kehilangan rumah dan banyak haiwan yang mati,” katanya.
Selain mendermakan wang kemenangannya, Williams turut menandatangani baju yang dipakainya untuk dilelong demi mencari dana bagi membantu Australia menangani krisis tersebut.
Setakat ini, sudah 28 orang terkorban dalam kebakaran hutan yang melanda selatan negara itu.
Antara yang terbunuh termasuk anggota bomba yang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran itu. – AFP, 11 Januari, 2020
Komen