SYARIKAT pengeluar sarung tangan WRP Asia Pacific Sdn Bhd (WRP) telah menerima suntikan wang sebanyak RM3.25 juta daripada dana ekuiti swasta TAEL Partners bagi membayar gaji tertunggak pekerja-pekerjanya, kata peguam syarikat itu hari ini.
“Lembaga pengarah mengutamakan pembayaran gaji pekerja bukan eksekutif dan pekerja kilang terlebih dahulu sementara bayaran kepada kakitangan eksekutif dijadualkan pada minggu depan,” kata sebuah kenyataan yang dikeluarkan firma Thomas Philip Advocates and Solicitors dalam satu kenyataan hari ini.
Pembayaran itu akan dibuat esok dan sehari selepas itu, katanya lagi.
“(Pembayaran) ini termasuk gaji tertunggak lebih 1,178 pekerja asing yang kini tidak bekerja secara biasa dalam syarikat yang kini dibubarkan,” kata pengarah urusan firma undang-undang itu, Mathew Thomas Philip.
Beliau berkata masih ada “banyak isu tunggakan yang belum dijelaskan” oleh pengurusan terdahulu.
“Ini dijangkakan sepanjang syarikat ini berlangsung dan kami tidak akan membiarkan pelbagai khabar angin dan rintangan mengalih perhatian kami daripada kerja sebenar
“Saya menggesa semua pihak berkepentingan supaya tidak terpengaruh oleh fakta yang diputar belit dan naratif palsu,” katanya.
Lembaga WRP Asia Pasific sedang berbincang dengan pemegang saham untuk menyelesaikan masalah-masalah yang belum selesai, termasuk pembayaran bil utiliti, merundingkan kembali syarat-syarat pembayaran dengan pemiutang dan menjadual semula bekalan produk kepada pelanggan yang ada.
Syarikat itu berkata ia mahu memulakan semula operasi perniagaan tidak lama lagi.
Di laman webnya, WRP Asia Pacific mengatakan ia adalah pengeluar dan pengeksport utama produk sarung tangan berkualiti premium di seluruh dunia.
Syarikat itu menggantung operasinya pada 1 Januari, tahun ini disebabkan kekangan kewangan, tiga bulan selepas syarikat itu diharamkan oleh agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) kerana disyaki menggunakan buruh paksa. – 12 Januari, 2020.
Komen