Tak terima bayaran Sukan Sea, Zainal Abidin fail saman hari ini


Nabihah Hamid

Zainal Abidin, hari ini akan memfailkan saman terhadap syarikat pengurusan persembahan acara penutup Sukan Sea 2017 bagi menuntut baki bayaran persembahan penyanyi itu pada acara tersebut. Saman menuntut RM14,000, yang merupakan baki 50% bayaran tertunggak, akan difailkan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur melalui firma guaman Thomas Philip. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2017.

AFRO Inang Worldwide, syarikat pengurusan penyanyi Zainal Abidin, hari ini akan memfailkan saman terhadap syarikat pengurusan persembahan acara penutup Sukan Sea 2017 bagi menuntut baki bayaran persembahan penyanyi itu pada acara tersebut.

Saman menuntut RM14,000, yang merupakan baki 50% bayaran tertunggak, akan difailkan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur melalui firma guaman Thomas Philip.

Menurut peguam Mathew Thomas Philip, saman itu yang akan difailkan secara dalam talian, adalah bagi menuntut baki bayaran yang belum diselesaikan walaupun sudah diminta beberapa kali daripada syarikat berkenaan.

“Datuk Zainal mengatakan bahawa hal perkara saman bukan kerana wang tetapi isu prinsip bahawa hak artis tidak dihormati,” kata Philip ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Tambahnya, tindakan mahkamah ini juga bagi membuka jalan kepada artis lain untuk menuntut hak dari segi undang-undang supaya tidak dipermainkan lagi.

Dalam pada itu, Angelina Asmawi, pengurus penyanyi yang terkenal dengan lagu “Hijau” itu, kesal kerana syarikat berkenaan tidak memberi sebarang jawapan balas kepada Afro Inang walaupun diberi tempoh sehingga semalam.

“Mereka tidak balas pertanyaan saya. Kita sudah bagi masa sehingga Khamis (semalam) untuk selesaikan bayaran.

“Setakat ini, tiada artis yang mahu buat perkara sama (tuntutan saman) tetapi ada satu syarikat animasi yang terlibat meminta pertolongan (peguam),” katanya ketika dihubungi.

Angelina pada Rabu memaklumkan pihaknya sedang mengumpulkan artis dan individu lain yang belum menerima bayaran daripada syarikat berkenaan.

“Datang kepada kami. Kami lawan untuk kamu. Buat apa kita hendak takut? Kita bukan salahkan kerajaan. Kita minta hak kita.

“Sesiapa saja yang bekerja dengan mereka jika tak dapat bayaran datang juga pada kami,” katanya.

Sementara itu, penyanyi rock, Amy Search mengaku beliau juga belum mendapat bayaran dan sedang berurusan dengan syarikat yang bertanggungjawab.

“Bagi saya, ia sangat private and confidential (peribadi). Apa pun bagi saya, kita akan uruskan (tuntutan bayaran) sendirilah. Pengurusan saya akan uruskan,” katanya kepada media selepas sidang media pelancaran album terbaru Search, di Kuala Lumpur semalam.

Dalam pada itu, sebuah syarikat pengurusan artis yang enggan dinamakan berkata menerima panggilan daripada syarikat tersebut untuk mengutip bayaran di pejabat.

“Terima satu panggilan daripada penganjur mengatakan artis dah boleh ambil bayaran esok (hari ini),” katanya ketika dihubungi.

The Malaysian Insight telah beberapa kali cuba mendapatkan reaksi daripada syarikat pengurusan persembahan itu namun tidak dilayan, malah seorang pengurusnya hanya berkata enggan mengulas lanjut.

Isu ini diketengahkan selepas pengacara Adibah Noor mendedahkan nasib artis tidak dibayar itu di Twitter.

Selepas Perdana Menteri Najib Razak membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, Adibah menulis: “Agak sedih, dan sakit hati juga, mendengar keluhan kawan-kawan yang perform masa closing Sea Games hari tu masih belum dapat bayaran.”

Tulisan Adibah itu kemudian mendedahkan lebih banyak rungutan sama daripada mereka yang terlibat dengan acara penutup temasya sukan serantau dwitahunan itu dan juga mendakwa mereka pun belum dapat bayaran.

Dalam pada itu, Berita Harian melaporkan Jawatankuasa Pengelola Malaysia Kuala Lumpur 2017 (MASOC) yang melantik syarikat tersebut kecewa dengan isu yang berbangkit ini.

MASOC sudah membayar lebih 70% daripada nilai kontrak syarikat yang dilantik, menerusi proses tender Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengendalikan upacara perasmian dan penutup kedua-dua temasya berkenaan pada 28 Ogos lalu.

Penganjur bagaimanapun menetapkan sasaran melunaskan semua bayaran kepada pihak yang dilantik selewat-lewatnya sehingga akhir November ini. – 3 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen