MENTERI pendidikan baharu yang akan menggantikan Maszlee Malik tetap akan dipilih dari kalangan pemimpin parti Bersatu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir yang kini memangku jawatan tersebut berkata beliau akan melepas jawatan tersebut secepat mungkin selepas mendapat pengganti yang sesuai.
“Biasanya (pengganti menteri pendidikan) daripada Bersatu. Saya (lepas jawatan) secepat mungkin selepas saya dapat seseorang untuk ambil alih.
“Saya (pangku jawatan ini) sementara sahaja,” kata beliau yang memangku jawatan itu sejak 3 Januari, pada tarikh peletakan Maszlee berkuatkuasa.
Dr Mahathir yang ditemui pemberita selepas satu majlis di Langkawi malam ini turut mengesahkan beliau sudahpun berbincang dengan beberapa pegawai tertinggi kementerian itu berkenaan hala tujunya.
“Kita bertemu, saya cuma berikan idea berkenaan tugas kementerian. Kita nak membentuk satu sistem membekalkan semua penuntut sehingga mereka apabila lulus, dapat bekerja,” jelasnya.
Tambahnya, rombakan Kabinet juga tidak akan berlaku setakat ini dan hanya melibatkan pelantikan baharu menteri pendidikan.
Mahathir turut berkata, beliau masih mengkaji rancangan untuk memisahkan Kementerian Pengajian Tinggi dengan Kementerian Pendidikan.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan, Dr Mahathir dipercayai mengadakan pertemuan bersama pegawai kanan kementerian itu ketika Maszlee mengumumkan perletakan jawatannya.
Pertemuan itu dipercayai bagi membincangkan sekurang-kurangnya dua isu di bawah pentadbiran Maszlee iaitu kasut hitam dan sarapan percuma bagi murid sekolah.
Maszlee pada 2 Jan lalu mengumumkan perletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan.
Beliau menjelaskan, keputusan itu dibuat membabitkan tiga isu iaitu isu Jawi, Program Sarapan Percuma dan projek bekalan internet di sekolah.
DAP yang menguasai jumlah kerusi paling besar di kalangan parti Pakatan Harapan menuntut agar pelantikan menteri pendidikan baharu dibincangkan dalam mesyuarat gabungan parti itu.
Tuntutan itu bagaimanapun ditolak parti Bersatu yang menegaskan pelantikan menteri tersebut merupakan hak perdana menteri. – 11 Januari, 2020.
Komen