Polis perlu siasat rakaman audio Najib dan rakannya, kata Anwar


Presiden PKR itu berkata bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga harus menjelaskan keputusannya untuk mendedahkan audio itu kepada orang ramai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 11 Januari, 2020.

POLIS perlu menyiasat rakaman audio yang didakwa merupakan perbualan antara bekas perdana menteri Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor dan beberapa pegawai kerajaan dalam perbincangan berhubung skandal 1MDB dan SRC International, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga harus menjelaskan keputusannya untuk mendedahkan audio itu kepada orang ramai.

“Harus ada penjelasan, penjelasan lebih lanjut. Ia adalah ruang peribadi kerana ia merupakan perbualan antara suami dan isteri, tetapi ada faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan seperti hujah keadilan.

“Saya fikir pihak polis perlu membuat siasatan dan mahkamah juga perlu meneliti perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu forum mengenai Tamadun Islam di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa di Kuala Lumpur hari ini.

SPRM baru-baru ini menjadi tumpuan berikutan pendedahan sembilan klip audio yang didakwa memaparkan Najib, Rosmah, bekas ketua SPRM Dzulkifli Ahmad, Abdul Azeez Abdul Rahim serta putera mahkota Emiriyah Arab Bersatu, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan bagi membincangkan cara untuk memanipulasi maklumat mengenai 1MDB dan SRC International.

SPRM berkata rakaman menunjukkan secara jelas kes salah guna kuasa, konspirasi, penipuan bukti palsu dan kebocoran rahsia negara.

Peguam Haniff Kathri dan Ketua Biro Perundangan DAP Ramkarpal Singh berkata tindakan itu menyalahi undang-undang.

Haniff berkata dalam satu kenyataan bahawa ketua SPRM Latheefa Koya sepatutnya mengarahkan pegawainya untuk membuat laporan polis dan menyerahkan rakaman kepada polis.

Ramkarpal berpendapat bahawa mengintip perbualan dengan memintas talian telefon mereka adalah tidak mengikut berperlembagaan.

Beliau menambah bahawa rakaman itu harus menjadi sebahagian daripada bukti agensi penguatkuasaan undang-undang bagi membina pertuduhan kes mahkamah selepas suspek dituduh.

Memberikan maklum balas, Latheefa menjelaskan kepada portal berita tempatan bahawa peguam itu berhak memberikan pendapat mereka. – 11 Januari, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen