POLIS tidak seharusnya berpihak kepada mereka yang mencabul hak Perlembagaan rakyat, kata bekas hakim kanan yang mengecam sikap pihak berkuasa dalam menangani isu-isu kaum dan agama.
Hishamudin Yunos mengambil contoh mengenai pengajaran Jawi di sekolah vernakular dan hiasan Tahun Baru Cina di sekolah baru-baru ini sebagai dua contoh sikap “pihak berkuasa memihak kepada pencabul hak perlembagaan”.
Beliau berkata polis dilihat tidak melindungi hak kebebasan bersuara dan berhimpun oleh kumpulan yang membantah sukatan pelajaran Jawi, di samping turut bertindak untuk membungkam suara mereka.
Tingkah laku ini, katanya, berbahaya kerana ia menunjukkan mesej yang salah dan menjadikan kumpulan-kumpulan yang menghasut sentimen perkauman dan agama menjadi semakin berani.
“Adalah mengecewakan apabila terdapat pencabul hak perlembagaan pihak berkuasa akan berpihak kepada orang yang salah,” kata Hishamudin pada forum mengenai pentadbiran Islam di Malaysia.
Terdahulu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), mengancam kumpulan pendidikan Cina, Dong Jiao Zhong yang ingin mengadakan kongres pengajaran sukatan Jawi bagi tahun empat di sekolah vernakular pada 27 Disember tahun lalu.
Gamis mengancam bahawa rusuhan kaum akan terjadi jika Dong Jiao Zong meneruskan kongres tersebut.
Susulan ancaman tersebut, polis mendapatkan perintah mahkamah untuk menghentikan kongres Dong Jiao Zong.
Walau bagaimanapun, beberapa hari kemudian, kumpulan pelajar Gamis tetap meneruskan perhimpunan anti-Dong Jiao Zong di Kuala Lumpur walaupun perintah daripada polis telah dikeluarkan untuk mereka tidak berbuat demikian.
“Jadi daripada menangkap orang-orang yang mengancam kedamaian, pihak polis berpihak kepada orang-orang yang menafikan hak kebebasan bersuara dan perhimpunan Dong Jiao Zong,” kata Hishamudin.
Perkara yang sama berlaku di SMK Pusat Bandar Puchong (1) di mana polis meminta sekolah berkenaan untuk menurunkan hiasan Tahun Baharu Cina susulan bantahan parti nasionalis Melayu Putra.
Berikutan tindakan Putra, menteri Kabinet Pakatan Harapan dan pegawai kerajaan negeri melawat sekolah itu untuk menunjukkan sokongan mereka kepada ibu bapa dan pentadbir sekolah.
“Tingkah laku jenis ini (dari pihak berkuasa) adalah berbahaya. Ia menghantar mesej yang salah dan menjadikan kumpulan itu lebih berani pada masa depan. ” – 11 Januari, 2020.
Komen