DONG Jiao Zong mahu bertemu dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan isu yang menjejaskan sekolah vernakular, kata Tan Tai Kim.
Presiden kumpulan pendidikan Cina itu berkata beliau akan menulis surat kepada Dr Mahathir yang kini merupakan pemangku menteri pendidikan.
“Sebarang masalah boleh diselesaikan menerusi perbincangan dan pertemuan ini akan memberi gambaran yang baik,” katanya pada satu majlis mengumpul dana bagi membina sebuah kompleks pendidikan Cina hari ini.
Dong Jiao Zong merupakan kumpulan pendidikan yang mengetuai tentang terhadap usaha Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan pembelajaran Jawi di sekolah vernakular.
Kumpulan itu mahu keputusan untuk pembelajaran Jawi sepatutnya ditentukan oleh Lembaga Sekolah-Sekolah Cina, bukannya Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) seperti yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.
Tan berkata beliau berharap Dr Mahathir tidak akan mengikut cara lamanya kerana portfolio pendidikan amat penting dan memerlukan banyak pembaharuan.
“Jangan terikut idea lama. Dengar pendapat umum dan lebih penting lagi menghormati janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya,” katanya.
Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan Dr Mahathir membangkitkan semula dasar lama seperti pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeri dan Sekolah Wawasan.
“Kita akan menantikannya,” kata Tan mengulas tentang pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (EUC).
Semalam, Dr Mahathir mengumumkan beliau akan mengambil alih peranan menteri pendidikan selepas penyandangnya Dr Maszlee Malik meletak jawatan tugas itu pada 3 Januari lalu. – 11 Januari, 2020.
Komen