JANGKITAN influenza yang dikesan berlaku di di Selangor masih terkawal dan vaksin hanya akan diberikan kepada pesakit berisiko tinggi, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata buat masa ini Kementerian Kesihatan tidak menetapkan sebarang dasar untuk memberi vaksin influenza kepada orang awam.
“Vaksin influenza hanya ditawarkan di hospital kerajaan sebagai sebahagian daripada rawatan kepada golongan berisiko tinggi.
“Seperti pesakit dengan penyakit kronik berbahaya serta golongan dengan daya ketahanan badan yang rendah yang berisiko mendapat komplikasi jangkitan influenza yang turut meliputi kematian,” katanya.
Beliau memberitahu pemberita, juga mengarahkan pihak pembekal mendapatkan stok vaksin influenza ini dengan segera bagi memenuhi permintaan.
Dzulkefly mengakui kekurangan bekalan vaksin memang berlaku di klinik dan hospital swasta memandangkan penggunaan yang agak tinggi pada akhir tahun 2019 dan awal tahun 2020.
“Kebanyakan fasiliti kesihatan swasta yang sebelum ini melaporkan kekurangan stok ubat anti-viral bagi merawat influenza telah mulai menerima bekalan masing-masing,” katanya.
Selain itu, syarikat Pharmaniaga memberi jaminan stok ubat antiviral akan terus dibekalkan kepada kementerian bagi memastikan bekalan mencukupi setiap masa, katanya.
Beliau memberi jaminan, jangkitan Influenza A yang menyerang guru dan pelajar di Cyberjaya dan Klang itu juga terkawal dan tidak sampai ke tahap penutupan sekolah.
“Kejadian wabak tersebut tidak melibatkan penutupan mana-mana sekolah yang terlibat dan secara keseluruhannya kesemua wabak yang dilaporkan berada dalam keadaan terkawal.
“Kementerian Kesihatan akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memantau situasi kejadian influenza di institusi pendidikan dan langkah pencegahan dan kawalan yang dijalankan,” katanya.
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor semalam memaklumkan 20 pelajar dan seorang guru didapati positif Influenza A.
Mengulas lanjut, Dzulkeflu berkata, jangkitan influenza yang berlaku di Malaysia juga tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kejadian radang paru-paru (pneumonia) yang sedang berlaku di Wuhan, China.
Dzulkefly juga berkata tiada larangan dikeluarkan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia buat masa ini mengenai lawatan dan perdagangan di China.
Beliau menjawab tuntutan daripada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan agar memberi cuti kuarantin kepada guru dan pelajar yang dijangkiti virus itu.
Kesatuan itu juga menggesa kerajaan mempertimbangkan penyakit Influenza A dimasukkan dalam senarai enam jenis penyakit berjangkit yang diberi kemudahan cuti kuarantin. – 11 Januari, 2020.
Komen