SIASATAN akan dijalankan ke atas dakwaan bahawa terdapat kedai di medan selera Penempatan Portugis disewa “secara haram” kepada orang luar, kata Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah (MBMB) Mansor Sudin.
Mansor memberitahu The Malaysian Insight yang beliau menerima aduan mengenai perkara itu pada hujung tahun lepas.
Tambahnya, lesen pengendali kedai makan terlibat akan dibatalkan sekiranya didapati “menjual” perniagaan mereka kepada orang luar.
“Pada hujung tahun lepas, kami terima aduan tentang pengendali medan makan Penempatan Portugis yang melakukan sewa semula (sub-let kedai makan mereka) kepada orang lain.
“Kami akan menyiasat perkara ini sewajarnya. Jika betul dakwaan ini, maka kami akan membatalkan perjanjian antara MBMB dengan penyewa,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pada Disember 2019, penduduk Penempatan Portugis mengadu yang pihak luar mengambil kesempatan ke atas kelemahan sistem untuk mengendali kedai di Medan Makan Ujong Pasir yang dibina MBMB.
Kata mereka, “penjajahan” tersebut akan menghapuskan budaya dan tradisi penduduk kawasan itu.
Mansor berkata buat ketika ini, pihaknya tidak menemui sebarang bukti menunjukkan pengendali baharu menyalahguna sistem.
Ini adalah kerana sebarang perjanjian antara pengendali baharu dan pemilik sebenar berlaku di luar sistem yang wujud.
Katanya lagi, apabila pegawai MBMB melawat kawasan itu, pengendali baharu mendakwa mereka hanyalah pekerja kedai terbabit.
“Sukar untuk MBMB. Kami tak jumpa sebarang bukti yang kata pengendali asal menyewa semula atau menjual perniagaan mereka. Ia berlaku tanpa pengetahuan kami.
“Bila kami melawat kedai dan menyoal mereka, pengendali baharu kata mereka hanya bekerja di kedai itu. Kami tak boleh buat apa-apa. Kami perlu dapatkan bukti kukuh,” katanya.
Tinjauan The Malaysian Insight mendapati sekurang-kurangnya empat kedai di medan selera itu kini dikendalikan oleh pemilik bukan Serani.
Pengerusi Majlis Penempatan Kampung Portugis (MPKK) Jacinta Lazaroo dan Ketaa Perkampungan atau Regedor Peter Thomas Gomes berkata orang mereka sendiri mengecewakan komuniti kerana menyerahkan kedai itu kepada orang luar.
Mereka merasakan memberi kesan buruk kepada pengendali kedai keturunan Serani di situ dan perlahan-lahan memusnahkan warisan mereka.
Mansor juga menjelaskan menurut rekod majlis, semua kedai diberikan kepada pemilik keturunan Serani, dan tindakan menyewa semula atau membenarkan orang lain mengendalikan perniagaan tanpa kebenaran majlis adalah salah.
“Kedai itu diberikan kepada mereka (orang Serani) untuk berniaga dan mendapat manfaat daripadanya. Bukan untuk disewa semula atau dijual.
“Sewa semula atau jual jelas sekali salah,” katanya, menambah yang mereka yang tidak mampu meneruskan perniagaan sepatutnya memulangkan kembali lot kepada majlis supaya ia boleh disewa kepada orang Serani lain yang berminat. – 12 Januari, 2020.
Komen