AGENSI penanaman padi negara memperhebat usaha memastikan pengairan mencukupi untuk tanaman ketika kawasan jelapang padi utara negara berdepan cuaca panas luar biasa, pertama kali sejak 40 tahun.
Pam air bergerak dan pembenihan awan adalah antara usaha digerakkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), agensi bertanggungjawab ke atas kawasan penanaman padi di Kedah dan Perlis.
Buat masa sekarang, bekalan air di empangan mencukupi untuk mengairi tanaman sehingga Februari, tetapi pesawah diberi amaran supaya menjimatkan penggunaan air kerana tahap bekalan di tiga empangan kawasan itu sudah menurun kerana kekurangan hujan.
Sekiranya bekalan air di Empangan Pedu yang membekalkan air kepada rumah dan sawah di utara dan tengah Kedah mencapai 27%, keutamaan akan diberikan untuk kegunaan awam, kata agensi itu.
“Buat masa sekarang belum ada kawasan yang terjejas teruk. Ini disebabkan oleh tindakan-tindakan yang sedang diambil oleh Mada,” kata agensi itu dalam satu kenyataan diberikan kepada The Malaysian Insight.
“Bekalan air untuk tujuan penanaman padi dijangka dapat dibekalkan mengikut Jadual Penanaman Padi dan Bekalan Air Musim 2/2019 iaitu sehingga 17 Februari 2020.
Mada juga sudah mengedarkan 821 pam bergerak ke bendang terjejas dan mengaktifkan sepenuhnya 155 stesen pam air untuk membekalkan air terkitar semula.
“Pengairan secara bergilir dilaksanakan di antara wilayah MADA bagi mengurangkan kadar pelepasan daripada empangan. Pelepasan air sebanyak 113.2 meter padu sesaat daripada Empangan Pedu.”

Mada juga sudah memulakan operasi pembenihan awam bersama-sama dengan Jabatan Meteorologi, kata agensi itu lagi, yang menyelia dan membantu hampir 56,000 pesawah di kawasan Kedah-Perlis dan menyediakan nasihat teknikal, baja, racun perosak dan pengairan.
Disebabkan sistem pengairan Mada, pesawah di Kedah-Perlis mampu menanam padi dua kali setahun, pertama antara Mac sehingga Julai dan musim kedua antara September sehingga Januari.
Tetapi, cuaca panas luar biasa mengganggu musim kedua 2019 kerana hujan yang biasanya turun antara November sehingga Mac, tiba-tiba berhenti pada Disember.
Kawasan Kedah dan Perlis mempunyai 150,000 hektar sawah dan memenuhi 47% permintaan beras negara. Mada menyelia 100,856 kawasan sawah ini.
Cuaca panas luar biasa juga menjejaskan sawah di Kubang Pasu, Kedah dan Padang Besar di Perlis, menyebabkan sehingga 4,000 pesawah tidak mempunyai bekalan air untuk mengairi bendang mereka.

Dalam kenyataan itu, Mada berkata musim penanaman sekarang selalunya bergantung kepada hujan lebat monson timur laut tetapi tahun ini, hujan turun berkurangan secara mendadak berbanding purata tahunan sejak 40 tahun lepas.
“Keadaan cuaca di kawasan Muda berada dalam keadaan agak kering di mana kadar turunan hujan direkodkan adalah kurang bermula akhir November 2019 sehingga kini iaitu sebanyak 1,645mm berbanding pada tahun 2018, turunan hujan lebih tinggi iaitu sebanyak 2,036mm.”
Pengurangan penurunan hujan juga menyebabkan kadar air rendah di tiga empangan iaitu Pedu, Muda dan Ahning yang membekalkan air untuk rumah, perniagaan dan sawah di Kedah dan Perlis.
Ketika kenyataan Mada dikeluarkan, tahap air di Pedu adalah 50.18%, Muda (26.72%) dan Ahning berada pada tahap 64.47%.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayob dijangka melawat pesawah yang terjejas kerana kemarau dalam beberapa hari lagi untuk mengumum bantuan disediakan kepada mereka. – 11 Januari, 2020.
Komen