TIGA keluarga yang kehilangan orang tersayang – sama ada hilang atau dikatakan dibunuh – berharap keadilan berpihak kepada mereka pada 2020 ini, selepas bertahun-tahun cuba mencari apa sebenarnya yang berlaku.
Dengan perubahan kerajaan pada 2018, keluarga ini mahu Pakatan Harapan (PH) membantu meringankan beban dengan memberikan kebenaran dan menyelesaikan misteri kehilangan ahli keluarga mereka.
Keluarga Teoh Beng Hock, Pastor Raymond Koh dan Bill Kayong mahu PH berpegang kepada janji untuk mendapatkan keadilan untuk mangsa.
Teoh Lee Lan, kakak kepada Beng Hock berkata selama 10 tahun mereka masih merana dan menantikan keadilan.
“Sejak PH berkuasa, kami masih menunggu untuk mereka melakukan sesuatu.
“Saya pasti masih ada bukti dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terbabit dalam kes itu tampil menjadi saksi,” katanya pada satu forum awam bertajuk “Menanti Keadilan pada 2020”.
Tahun lalu, polis membuka semua siasatan terhadap kematian Teoh mengikut Seksyen 432, yang berkaitan dengan penahanan salah.
PH dalam manifesto PRU14, berjanji untuk membuka semula siasatan terhadap kematian Teoh.
Pada 16 Julai, 2009, mayat Teoh, 30, ditemui di bumbung bangunan bersebelahan pejabat SPRM di Shah Alam, di mana beliau disoal siasat berhubung kes rasuah terhadap seorang Adun DAP Selangor.
Lee Lan berkata keluarga mereka berharap mendapat jawapan sebelum perhimpunan memorial Teoh pada 16 Julai untuk isteri dan anaknya.
“Anaknya sudah berusia 1 tahun dan mula bertanya tentang bapanya. Kami harap dapat jawapan.”
Susanna Liew, isteri Koh berkata keluarganya kecewa apabila masih tidak menemui jawapan atas kehilangan pastor itu.
“Ia perjalanan yang sukar buat kami. Kami masih bersedih.
“Kami tidak tahu dia hidup atau mati. Kerana tidak ada pengebumian, setiap hari adalah pengebumian bagi kami.”
Koh, 62, diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya pada 13 Februari, 2017.
Siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia memutuskan Koh mangsa kehilangan paksa.
Panel siasatan berpandangan penculikan itu dilakukan oleh pihak berkuasa, menamakan Cawangan Khas di Bukit Aman. – 11 Januari, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen