Lereng bukit Tg Bungah tunggu masa runtuh, kata penduduk


Zaim Ibrahim

Projek pembinaan jalan raya di Tanjung Bungah, Pulau Pinang dibimbangi penduduk tidak selamat. – Gambar The Malaysian Insight, 10 Januari, 2020.

LEBIH 2,000 penduduk di Tanjung Bungah, Pulau Pinang kini hidup dalam ketakutan kerana lereng bukit untuk pembinaan jalan raya di situ didakwa tidak selamat dan berisiko runtuh bila-bila masa.

Penduduk perumahan Mont Residence dan E-Garden mendakwa pembinaan tersebut akan menjejaskan binaan kondominium berkenaan selain menyebabkan berlaku pencemaran.

Beberapa penduduk di dua blok kondominium setinggi 39 tingkat itu mengesyaki aspek keselamatan tidak dipatuhi dalam pembinaan tersebut.

Salah seorang daripadanya, Darren Quah yang mendiami Mont Residence sejak setahun lepas bimbang ia menyebabkan berlaku tanah runtuh jika hujan lebat.

“Adakah jika hujan lebat, tanah runtuh boleh berlaku? Saya tidak rasa pihak pemaju mematuhi semua aspek keselamatan,” kata beliau ketika ditemui The Malaysian Insight.

Quah berkata projek itu juga menyebabkan berlaku pencemaran di kawasan perumahan tersebut.

“Setiap hari kami dengar kerja pembinaan dilakukan yang kadang kala sehingga malam dan akibat daripada projek ini, kawasan rumah kami dipenuhi habuk,” katanya.

Quah yang berpindah ke kondominium itu pada Jun 2019 berkata, beliau tidak lagi dapat menikmati udara segara selepas bukit itu ditarah.

“Saya rasa sangat marah kerana rumah saya betul-betul berdepan bukit yang ditarah ini dan jika projek disiapkan, kawasan rumah kami akan bising dengan bunyi kenderaan” jelasnya.

Darren Quah yang mendiami Mont Residence sejak setahun lepas bimbang ia menyebabkan berlaku tanah runtuh jika hujan lebat. – Gambar The Malaysian Insight, 10 Januari, 2020.

Penduduk juga mendapati, projek jalan penghubung Jalan Mount Erskine dengan Persiaran Halia 3 itu juga merupakan penyebab kes banjir lumpur pada Mei 2018.

Kerja tarahan bukit itu sememangnya merupakan penyebab banjir buruk itu, kata Wayne Eng, 31.

“Jika banjir lumpur boleh berlaku sebelum ini, saya bimbang tentang keadaan struktur kondominium akan terjejas akibat projek jalan raya ini.

“Selepas banjir itu, pihak pemaju membina satu tembok yang besar. Tapi ia tidak memberi jaminan kawasan rumah kami akan selamat,” tambah perunding IT itu.

Tinjauan The Malaysian Insight juga mendapati, bahagian tertentu kawasan lereng bukit yang ditarah itu tidak dilitupi dengan sebarang komponen yang boleh menyebabkan, tanah runtuh berlaku.

Kebimbangan sama disuarakan Penyelidik Sahabat Alam Malaysia (SAM) S Mageswari yang berkata, kawasan setempat berisiko menghadapi tanah runtuh jika berlakunya hujan lebat.

“Kami juga bimbang akan berlakunya gelongsor tanah serta tanah runtuh sekiranya berlaku hujan lebat.

“Lumpur juga akan memasuki tempat letak kereta Mont Residence serta bangunan kediaman berhampiran,” katanya.

Tembok yang dibina dipersoalkan penduduk sama ada selamat menahan air hujan atau tanah runtuh yang mungkin berlaku.  – Gambar The Malaysian Insight, 10 Januari, 2020.

Sementara itu, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri Zairil Khir Johari berkata kerajaan negeri akan mengarah satu jawatankuasa untuk memeriksa tapak pembinaan projek itu.

Tambahnya, faktor keselamatan akan menjadi keutamaan projek ini dan beliau juga telah mengarahkan pihak MBPP mengikuti rapat keadaan projek itu.

“Syarat seperti kolam endapan, perangkap kelodak, saliran sementara dan sebagainya semuanya terangkum dalam Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP) yang disediakan oleh perunding projek.

“Saya akan arahkan pasukan petugas khas, Ops Lumpur untuk memeriksa projek itu mengikuti kriteria ESCP,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang dalam satu kenyataan pada 18 November menyebut projek itu kini dalam proses menstabilkan cerun dan keseluruhan projek dijangka siap pertengahan 2020. – 10 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen