KEPUTUSAN India menyekat import minyak kepala sawit bertapis tidak akan memberi kesan besar terhadap harga tempatan komoditi itu yang kini mula pulih, kata pertubuhan peladang.
Pertubuhan Pengeluar Pertanian Malaysia (MAPA) memberitahu The Malaysian Insight permintaan untuk minyak sawit bertapis semakin meningkat di seluruh dunia dan Malaysia mempunyai pasaran lain untuk komoditi itu.
“Kita tidak hanya bergantung kepada India dan eksport minyak sawit bertapis. Harga untuk buah segar dan CPO (minyak sawit mentah) terjejas akibat beberapa faktor dan bukan itu saja,” kata Pengarah MAPA Mohamad Audong.
MAPA merupakan kumpulan perdagangan yang bertanggungjawab mewakili pekebun kelapa sawit, getah, kelapa dan koko termasuk peladang gergasi seperti Sime Darby, Felda dan Kuala Lumpur-Kepong.
“Faktor terbesar adalah stok simpanan yang semakin berkurangan dan permintaan masih stabil,” kata Mohamad.
Mengikut laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia, harga CPO meningkat sejak November tahun lalu sehingga RM3,043 per tan hari ini berbanding purata RM2,000 tan bagi 2018 dan 2019.
India merupakan pengimport utama produk minyak sawit Malaysia.
Pada 2018, nilai eksport komoditi itu ke India berjumlah RM6.9 bilion.
Pada 2018, Malaysia mengekport minyak sawit bertapis (PPO) berbanding CPO.
Kira-kira 13.09 juta tan PPO dieksport pada 2018 berbanding 3.39 juta tan CPO.
Pada Rabu lalu, Kementerian Perdagangan India mengumumkan sekatan terhadap import produk minyak sawit bagi membantu pengilang minyak sayuran tempatan. – 10 Januari, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen