Senarai, mekanisme punca program subsidi minyak tertangguh, kata sumber


Chan Kok Leong

Menurut sumber, kerajaan mempunyai data kumpulan B40 dan sedia memasukkan wang subsidi ke akaun mereka pada 30 April, 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Januari, 2020.

KELEWATAN pendaftaran golongan pendapatan berpendapatan sederhana (M40) dan masalah mekanisme antara sebab Putrajaya menangguhkan pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP), kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Masih ada  kelompongan dalam pelaksanaan skim itu terutamanya melibatkan penerima M40 selain kontraktor yang dilantik Kementerian Kewangan (MOF) belum mendaftarkan golongan M40.

The Malaysian Insight difahamkan kontraktor tersebut GHL Systems Berhad hanya mula mendaftarkan penerima M40 dari Mac depan.

Satu lagi sebab penangguhan itu adalah kad sistem MOF yang diusulkan untuk kegunaan penerima M40, dikenali sebagai Kad95.

Pengendali stesen minyak tidak bersetuju dengan mekanisme itu dan masih menunggu untuk bertemu MOF bagi mendapatkan penjelasan.

The Malaysian Insight sudah menghantar soalan kepada GHL dan MOF untuk mendapatkan penjelasan berhubung penangguhan program itu, bila pendaftaran M40 akan bermula dan sama ada sistem kad masih akan digunakan.

Namun kedua-dua pihak belum memberi maklum balas.

GHL Systems merupakan penyedia perkhidmatan pembayaran dan mempunyai cawangan di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, Kemboja, Singapura dan Australia.

PSP sepatutnya mula dilaksanakan pada Julai tahun lalu tetapi ditangguhkan ekoran kekurangan data golongan M40.

Kemudian tarikh baharu pelaksaaan skim itu ditetapkan pada 1 Januari lalu.

Bagaimanapun beberapa hari sebelum Tahun Baharu, Putrajaya mengumumkan sekali lagi penangguhan program itu sehingga diberitahu kelak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution berkata keputusan untuk menangguhkan program itu dipersetujui pada mesyuarat Kabinet terakhir 2019 pada 18 Disember lalu.

Beliau berkata penangguhan itu dibuat bagi memberi lebih masa kepada Putrajaya untuk menjelaskan tentang skim itu.

Namun menurut sumber, kerajaan sudah mempunyai data kumpulan B40 dan dan sedia memasukkan wang subsidi ke akaun mereka pada 30 April, 2020.

“Kita hanya melaksanakan program ini untuk kumpulan B40 tetapi bukan untuk M40 kerana mereka (kerajaan) merancang untuk menggunakan sistem kad.

“Malah mereka belum memulakan sistem pendaftaran,” kata sumber. – 10 Januari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen