PEGUAM Khairul Azam Abdul Aziz, yang mencetuskan kontroversi hiasan sambutan Tahun Baru Cina di sebuah sekolah di Puchong, Selangor minggu ini, mendakwa beliau “sudah menang” apabila tujuh menteri kabinet hadir ke sekolah itu semalam untuk mengumumkan isu tersebut selesai.
Beliau yang juga Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) tidak sangka surat yang dihantarnya kepada pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong (SMKPBP 1) itu sampai mendapat perhatian Jemaah Menteri.
“Saya rasa bangga sebagai netizen (rakyat) yang tiada apa-apa, saya bukan seorang berkedudukan tinggi dalam masyarakat, saya tulis surat dan dapat respons daripada Kabinet.
“Tujuh orang menteri Kabinet turun ke sekolah sebab surat saya. Saya rasa seronok surat saya dijawab. Saya rasa menanglah di situ, itu sebab saya rasa saya menang. Kamu nak rasa saya kalah terpulang,” katanya kepada pemberita di Cyberjaya, hari ini.
Beliau ditemui selepas disoal siasat lebih sejam oleh pihak polis di Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung penyebaran suratnya di Twitter pada 6 Januari lalu.
Khairul Azam bagaimanapun menjelaskan perasaan “sudah menang” itu tiada kaitan dengan siasatan pihak berkuasa.
“Kemenangan itu hak saya. Isunya secara keseluruhan pada saya kemenangan buat saya, tujuh menteri Kabinet batalkan acara rasmi dan datang ke sekolah.
“Lepas ini saya pilihlah sekolah mana lagi yang anggota Kabinet boleh turun,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail petang semalam mengetuai rombongan bersama enam menteri kabinet serta exco kerajaan Selangor melawat sekolah berkenaan.
Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum itu memandang serius tindakan pihak yang memainkan isu perkauman dan agama berhubung hiasan sambutan Tahun Baru Cina di sekolah itu.
“Jemaah Menteri sama sekali tidak bersetuju dengan sikap rasis dan ekstremis pihak-pihak tertentu kerana ia akan menjejaskan perpaduan kaum di negara ini,” kata kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri semalam.
Sementara itu, peguam Shahruddin Ali yang mewakili Khairul Azam berkata anak guamnya disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan bagi kesalahan membuat atau menyebarkan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam.
Sabit kesalahan pertuduhan di bawah seksyen itu membawa hukuman penjara 2 tahun atau denda.
Selain siasatan polis, Khairul Azam juga disiasat oleh SKMM.
Isu kubur Cina
Selain siasatan polis, Khairul Azam juga disiasat oleh SKMM berhubung satu kenyataannya di Twitter mengenai saiz kubur kaum Cina.
“Saya beri kerjasama kepada pihak SKMM untuk siasatan itu,” katanya.
“Isu sekolah itu polis, SKMM ini isu lain.”
Beliau disiasat mengikut Seksyen 233 Akta SKMM.
Dalam satu tulisan di Twitter pada 1 Januari lalu, beliau yang menggunakan akaun @suakeris mempersoalkan saiz kubur Cina yang besar, yang membazir tanah dan mengambil hak orang lain.– 9 Januari, 2020.
Komen