KERAJAAN Pulau Pinang menamakan belanjawannya sebagai “Belanjawan Marhaen” yang meliputi orang kebanyakan dan keluarga-keluarga yang bekerja sebagai “kalis masa depan” supaya tiada yang ketinggalan dalam ekonomi digital baru Revolusi Industri Ke-4.
Ketua Menteri Lim Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini membentangkan bajet untuk 2018 dan mengumumkan beberapa inisiatif baru termasuk untuk kesihatan, pemerkasaan wanita dan pengangkutan awam.
“‘Belanjawan Marhaen’ ini memberi lebih penekanan bajet sebelum ini terhadap lelaki atau wanita biasa di luar sana. Kerajaan Pakatan memberi kepada semua, ibu tunggal yang tidak bekerja, pelajar universiti, pelajar sekolah rendah dan menengah dan sekarang pelajar sekolah vokasioanal.
“Malah nelayan-nelayan yang anti kerajaan kerana menentang projek penambakan tanah yang diperlukan untuk projek-projek pengangkutan dan LRT, diberikan faedah menerima jaring ikan sebelum ini dan kini boleh menerima RM400 setiap tahun.
“Pelbagai bayaran tunai diagihkan kepada semua malah untuk ahli BN dari Umno, MCA atau MIC,” katanya dan mengatakan ini mungkin belanjawan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Kad I-Love-Penang
Kerajaan negeri melancarkan kad pintar baharu - I-Love-Penang (Saya sayang Pulau Pinang)- khas untuk semua rakyat Pulau Pinang yang membolehkan mereka menerima pelbagai kemudahan serta faedah sosial yang disediakan.
Lim berkata kad pintar ini akan digunakan untuk menyelaras dan mengagih semua program kebajikan kerajaan termasuk di bawah I-Sejahtera untuk kemudahan hidup rakyat Pulau Pinang.
“Kita hanya perlu membawa kad tersebut - dan kad itu mungkin mengambil bentuk maya dalam aplikasi telefon bimbit - bagi mencapai segala pembayaran, faedah dan kemudahan.
“Kad ini sangat bermanfaat kepada rakyat marhaen, dan pada masa yang sama menjadi instrumen kerajaan untuk menyerap pemakaian analisa big data dalam proses penggubalan dasar berasaskan bukti (evidence-based policy making) serta penyampaian perkhidmatan awam.
“Badan pemikir Kerajaan Negeri, Penang Institute, akan ditugaskan dengan pelaksanaan kad “I-Love-Penang”. Selaras dengan itu, peruntukan untuk Penang Institute telah ditingkatkan kepada RM4.5 juta.
Program Penang Sihat
Salah satu pengumuman utama yang berkaitan dengan kad pintar baharu itu ialah kad program RM60 juta “Penang Sihat”.
Menyedari yang perbelanjaan kesihatan setiap isi rumah kian meningkat, kerajaan negeri akan memperkenalkan Program Penang Sihat bagi isi rumah berpendapatan RM5000 ke bawah.
“Setiap tahun, setiap isi rumah ini akan diberi kredit RM300 dalam kad I-Love-Penang untuk membayar yuran perkhidmatan pesakit luar berserta ubat, dengan had RM50 setiap lawatan.
“Individu yang tidak berkahwin dengan pendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan akan mendapat kredit RM150 setahun dengan had sama RM50 setiap lawatan.
“Ini akan membantu golongan marhaen yang sakit agar mereka dapat melawat doktor dengan segera tanpa perlu risau mengenai caj mahal atau berkunjung ke klinik kerajaan yang terlalu jauh dari rumah,” katanya.
Lim berkata, memandangkan pendapatan median di Pulau Pinang ialah RM5,409 seisi rumah, paras pendapatan RM5,000 yang ditetapkan akan membantu golongan pekerja yang paling memerlukannya.
Kerajaan Pulau Pinang menganggarkan program baharu itu akan menelan belanja sebanyak RM60 juta setahun dan Lim berkata ia adalah tanggungjawab besar yang dipikul kerajaan negeri walaupun kesihatan adalah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.
“Ini berbeza dengan Kerajaan Persekutuan yang memotong kos perbekalan barangan farmaseutikal dan kesihatan awam sebanyak RM19 juta daripada RM950 juta pada tahun 2017 kepada RM931 juta pada tahun 2018.”
Beliau juga berkata program pemeriksaan mamogram percuma bagi wanita yang berusia 35 tahun ke atas akan diteruskan. Program ini dijangkakan akan beri manfaat kepada 30,000 wanita menjelang tahun 2020.
Bantuan tunai untuk ibu bekerja
Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan bantuan berjumlah RM15 juta untuk ibu-ibu bekerja sebagai pengiktirafan kepada sumbangan wanita terhadap ekonomi serta meningkatkan penyertaan wanita di negeri itu dalam tenaga kerja.
Lim berkata, mulai 2018, semua ibu yang bekerja sehingga usia 60 tahun dengan anak sehingga usia enam (6) tahun akan dibayar insentif tunai sebanyak RM300 setahun.
Bas percuma di waktu puncak
Lim berkata Pulau Pinang juga bercadang untuk meningkatkan penggunaan bas awam menggunakan pendekatan “nudge” melalui kad “I-Love-Penang”.
Pada 2018, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM15 juta untuk menggalakkan lebih ramai orang menggunakan bas awam di Pulau Pinang dengan menyediakan perkhidmatan bas percuma di waktu puncak pagi dan petang, bagi semua bas.
“Kita juga akan bekerjasama dengan Rapid Penang untuk meluaskan rangkaian perkhidmatan, merombak laluan bas bagi mengurangkan masa perjalanan, meningkatkan kekerapan dan kebolehpercayaan serta menambah bilangan bas di jalan raya.
“Pengembangan program bas percuma ini akan meningkatkan penggunaan, hasil dan perniagaan sampingan dengan ketara sekali bagi Rapid Penang.”
Bagaimanapun, Lim berkata Rapid Penang perlu membantu dengan menyediakan 200 buah bas baharu. Ia sebelum ini dicadangkan beberapa tahun lepas tetapi Rapid Penang menolaknya apabila kerajaan negeri menawarkan untuk membayar sebanyak RM10 juta.
Lim berkata perkhidmatan itu hanya boleh berjaya jika menggunakan kad pintar tanpa tunai yang membolehkan pengguna dan pengendali bas memantau perjalanan dan digunapakai secara elektronik.
Beliau berkata bas percuma CAT yang disediakan sejak 2008 di kawasan George Town, serta bas bersubsidi dari Seberang Perai ke Pulau bagi mereka yang bekerja di Zon Perdagangan Bebas Bayan Lepas. Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan meningkatkan bilangan bas percuma CAT daripada tiga hingga lima buah pada tahun depan, dengan peningkatan kos daripada RM666,000 kepada RM1.1 juta setahun.
Tambah Lim lagi, kerjaan negeri akan mewujudkan “Transport Penang” iaitu satu unit perancang terdiri daripada sekumpulan perancang pengangkutan, ‘modellers’ dan pakar yang akan melapor kepada Majlis Pengangkutan Pulau Pinang yang diketuai Ahli EXCO, YB Chow Kon Yeow.
Perlindungan bukit
Kerajaan negeri Pulau Pinang akan memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi perlindungan lereng bukit bersama dengan kajian perubahan iklim, khususnya pertanian haram.
Pulau Pinang pada September menerima hujan paling lebat dalam 100 tahun hingga mengakibatkan banjir di beberapa bahagian negeri. Pda bulan lepas, tanah runtuh berlaku di Tanjung Bungah dan meragut 11 pekerja binaan.
“Di masa akan datang kita berharap untuk melaksanakan pelan penyesuaian perubahan iklim yang komprehensif untuk pulau dan tanah besar supaya orang ramai mendapat makluman dan bersiap-sedia kepada perubahan iklim.
“Kita menubuhkan Penang Alert System dan akan menjalankan kajian iaitu sebahagian daripada projek perlindungan lereng bukit untuk memperbaiki sistem bencana alam dan kecemasa yang sedia ada. Mekasnisme ini menelan belanja RM10 juta,” kata Lim.
Dana tebatan banjir, sukan teras dan lain-lain
Bagi mengatasi masalah bannir di Pulau Pinang, MBPP dan Majlis Perbandaran Seberang Jaya(MPSP) akan membelanjankan RM20 juta bagi pelbagai projek tebatan banjir.
Sementara itu, RM61.2 juta telah diperuntukkan untuk penyelesaian kesesakan lalulintas dan pembinaan dua buah pasar baharu di Bukit Mertajam dan Seberang Jaya.
Sebanyak RM45 juta juga diperuntukkan bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri basikal, RM275 juta untuk menjadikan badminton dan renang sukan teras dan RM75 juta untuk pengajaran STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik).
Pelajar sekolah vokasional juga akan diberikan ‘one-off payment’ bagi meningkatkan kemahiran dan pembangunan modal insan.
RM3 juta diumumkan bagi Dana Membaikpulih Warisan George Town manakala RM1 juta bagi Benih Menaiktaraf Presint Little India.
Bantuan tahunan bagi hal ehwal agama bukan Islam masih dikekalkan sebanyak RM1.1 juta. Bagi pembangunan Islam pula, kerajaan negeri meningkatkan peruntukan daripada RM50 juta ke RM53 juta tahun depan.
Kerajaan negeri juga mengurangkan kadar penilaian bagi penjaja, rumah kos rendah, sederhana rendah dan kampung yang mana MBPP dan MPSP masing-masing akan membelanjakan RM8.9 juta dan RM6 juta.
Kurang pendapatan, unjuran defisit lebih besar
Bagaimanapun, kerajaan negeri menjangkakan kekurangan pendapatan pada 2018 iaitu RM503.76 juta.
Ia menganggarkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.25 bilion dan defisit RM748.5 juta berbanding RM667.1 juta tahun ini.
“Ini adalah kerana sumber hasil Kerajaan Negeri yang terhad serta tiada punca hasil baharu, kutipan hasil daripada faedah pelaburan yang dijangka menurun disebabkan oleh penurunan bayaran dividen dan kadar faedah simpanan tetap, yang seterusnya menyumbang kepada anggaran hasil Negeri yang kurang untuk tahun 2018.
“Namun kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan untuk mengekalkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri supaya masih sama dengan anggaran tahun 2017.
“Namun begitu, Pulau Pinang mempunyai rekod unik apabila membentangkan anggaran belanjawan defisit setiap tahun tetapi tetap merekodkan lebihan setiap tahun, melalui penjimatan menerusi sistem tender terbuka dan pentabiran CAT yang efisien berpaksikan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus,” katanya.
Ketika ditanya pada sidang akhbar kemudian sekiranya ini adalah bajet pilihan raya Pakatan Harapan untuk Pulau Pinang, Lim berkata ia adalah bajet “marhaen”. – 2 November, 2017.
Komen