SATU aduan disiplin telah dibuat terhadap Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berhubung ucapannya yang didakwa menghina ahli parti dan menyerang kepimpinan parti, kata Saifuddin Nasution.
Setiausaha agung PKR itu berkata, aduan tersebut dibuat sejurus selepas Kongres Nasional PKR pada Disember lalu.
“Saya boleh sahkan ada aduan terhadap beliau. Saya sahkan aduan itu berada di jawatankuasa tindakan disiplin yang dipengerusikan Ahmad Kassim.
“Kes itu sedang diteliti jawatankuasa disiplin… sesuatu tindakan disiplin akhirnya (boleh) dibawa kepada amaran, gantung, atau pecat,” kata beliau kepada media di Balik Pulau, Pulau Pinang.
Saifuddin bagaimanapun menjelaskan, beliau tidak mengetahui perkembangan kes tersebut.
Semalam, sebuah portal berita mendedahkan Zuraida berisiko dipecat daripada PKR selepas didakwa menghina ahli parti dan mendedahkan isi perbualannya dengan presiden parti, Anwar Ibrahim secara terbuka.
Aduan dibuat oleh ahli yang tidak berpuas hati dengan Zuraida berhubung ucapannya pada majlis makan malam “Wawasan Kemakmuran Bersama 2030” pada 8 Disember lalu.
Majlis makan malam itu dianjurkan oleh pimpinan PKR yang dekat dengan Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali, dan berlangsung sejurus selepas Kongres Nasional PKR tamat pada sebelah petang, di Melaka.
Sementara itu, Ahmad Kassim berkata siasatan mengenai aduan itu sedang dijalankan.
“Kami sedang teliti dan perincikan kes ini,” kata beliau ringkas kepada The Malaysian Insight.
Zuraida sebelum ini mengumumkan akan mengadakan siri jelajah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), pada majlis makan malam selepas kongres parti itu bulan lepas.
Jelasnya, program itu bertujuan menjelaskan dasar kerajaan dan bukannya untuk mengkritik Anwar.
Katanya, siri jelajah berkenaan akan dimulakan selepas sambutan perayaan Tahun Baru Cina, bermula di Selangor dan diikuti di Sarawak.
“Kita akan fokus dengan inisiatif kerajaan kerana kita mahu bergerak ke hadapan dalam membina kerajaan.
“Kita tidak mahu lagi terlibat dengan isu (politik) lagi,” katanya pada sidang media di Putrajaya, semalam.
Majlis makan malam yang dianjurkan atas nama dasar kerajaan itu bagaimanapun bertukar jadi medan pimpinan parti mengkritik Anwar dan penyokongnya, yang digambarkan sebagai terlalu taasub dengan pelan peralihan kuasa perdana menteri.
Kumpulan penyokong Azmin sebelum itu bertindak memulaukan kongres di Melaka kerana tidak berpuas hati dengan perjalanan kongres. Mereka menyifatkan ia digunakan untuk mengecam Azmin. – 9 Januari, 2020.
Komen