Boleh guna rakaman pintasan sebagai bukti, kata peguam


Sheridan Mahavera

Rakaman intipan SPRM terhadap Najib Razak didedahkan semalam, menimbulkan pelbagai persoalan mengenainya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2020.

AGENSI penguatkuasaan boleh menyadap perbualan telefon mana-mana rakyat Malaysia termasuk orang kenamaan sekiranya mereka disyaki terlibat dalam jenayah, kata peguam.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, untuk membolehkan intipan itu digunakan sebagai bahan bukti, kesahihan rakaman itu perlu disahkan di mahkamah sebagai sebahagian daripada siasatan rasmi.

Peguam berkenaan mengulas rakaman audio yang didedahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam yang menunjukkan komplot untuk memutar belit maklumat kerajaan mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad pada 2016.

Rakaman audio adalah perbualan antara bekas perdana menteri Najib Razak dengan Dzulkifli Ahmad, ketika itu pendakwa raya kanan di Pejabat Peguam Negara, dan antara Najib dan isterinya Rosmah Mansor.

SPRM juga semalam memainkan rakaman perbualan antara Najib dan pemimpin asing.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata rakaman itu jelas menunjukkan adanya penyalahgunaan kuasa, konspirasi, pemalsuan keterangan dan pembocoran maklumat rahsia kerajaan.

Beliau menambah rakaman perbualan itu akan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan.

Peguam bagaimanapun berkata oleh sebab rakaman itu didedahkan terlebih dahulu kepada umum dan bukannya dikemukakan di mahkamah sebagai bahan bukti, ada kemungkinan mereka yang terlibat boleh menyaman SPRM kerana fitnah.

Pendedahan dibuat SPRM semalam tentang komplot salah guna kuasa Najib Razak menggemparkan negara, tetapi kesahihan rakaman itu kini perlu dibuktikan di mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2020.

Peguam Surendra Ananth berkata Seksyen 116C Kanun Acara Jenayah dan Seksyen 43 Akta SPRM 2009 membolehkan pihak berkuasa memintas komunikasi sekiranya ada perlakukan jenayah.

Menurut Seksyen 116C, pendakwa raya boleh memohon pembekal perhidmatan komunikasi untuk memintas dan menyimpan komunikasi tertentu sekiranya beliau merasakan komunikasi itu mengandungi maklumat berkaitan dengan jenayah.

Peruntukan sama juga membenarkan pendakwa raya untuk memberi kuasa kepada pegawai polis untuk memasuki mana-mana premis bagi memasang peranti bagi memintas komunikasi berkenaan.

Di bawah undang-undang sedia ada, intipan komunikasi juga boleh dilakukan ke atas perdana menteri yang berkuasa, kata Surendra.

Undang-undang tidak secara nyata melarang agensi seperti SPRM daripada mendedahkan rakaman pintasan itu kepada umum sebaliknya mengemukakannya terlebih dahulu di mahkamah sebagai keterangan, tambahnya.

“Persoalan ialah sama ada ia memprejudiskan hak tertuduh kepada perbicaraan yang adil kerana ia membuka ruang kepada perbicaraan oleh orang ramai. Ini agak samar,” kata Surendra.

“Pada pandangan saya, ia tidak (menimbulkan prejudis). Kita tidak ada sistem juri. Kes akan ditentukan oleh hakim tunggal yang diharap tidak mengambil kira apa yang ada di media dan juga sentimen umum.

“Kes ini melibatkan kepentingan umum,” tambahnya.

Membuktikan kesahihan

Peguam Syahredzan Johan sementara itu berkata pentadbiran Najib sendiri yang meminda undang-undang membenarkan pintasan dan rakaman perbualan peribadi.

“Tahu tak apa yang ironi? Kerajaan Najib yang memperkenalkan pindaan ke atas Kanun Acara Jenayah untuk membolehkan pintasan, pendengaran dan rakaman perbualan pada 2012,” kata Syahredzan di Twitter.

Seorang lagi peguam Lim Jiet Wei berkata tiada apa yang menyekat rakaman berkenaan daripada digunakan di mahkamah dalam pertuduhan baharu terhadap mereka yang terlibat atau mana-mana kes yang sedang berjalan.

Najib sedang berdepan tiga perbicaraan melibatkan pertuduhan menipu, salah guna kuasa, dan pengubahan wang haram melibatkan berbilion ringgit yang diseleweng dari 1MDB.

“Tiada undang-undang yang menyekatnya daripada dikemukakan di mahkamah walaupun ia telah didedahkan kepada umum sebelum itu,” kata Lim.

Niat SPRM bawah teraju Latheefa Koya membuat pendedahan rakaman itu terlebih dahulu sebelum ia didengar mahkamah tidak banyak memberi kesan kepada proses keadilan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2020.

Namun sebelum itu, SPRM mesti terlebih dahulu membuktikan pintasan itu adalah sah dan bukannya rekaan, kata peguam Hasnal Rezua Merican.

“Apabila agensi penyiasatan merakam sesuatu perbualan mesti ada pengenalan yang ringkas oleh pengawai yang melakukan rakaman, tarikh rakaman, jumlah talian telefon dan siapa yang dipintas,” kata Hasnal.

“Konteksnya mesti dinyatakan terlebih dahulu jika tidak rakaman itu boleh dianggap sebagai keterangan dengar cakap. SPRM mesti membuktikannya terlebih dahulu sebelum boleh digunakan sebagai bahan bukti.”

Hasnal turut mempersoalkan kewajaran rakaman itu didedahkan sekarang, empat tahun selepas ia dibuat.

“Kenapa dedah sekarang dan bukannya digunakan di mahkamah? Orang syak wasangka dengan niat SPRM,” katanya.

Najib juga mempertikaikan perkara yang sama. Beliau dan isteri menyerahkan kepada peguam mereka untuk melihat kedudukan sidang media SPRM semalam dari segi undang-undang.

Surendra menambah Najib dan nama-nama yang dikaitkan dengan rakaman yang didedahkan semalam boleh menyaman SPRM.

“Mereka boleh saman atas kemungkinan fitnah dan pelanggaran tanggungjawab statut, dan mungkin juga pencabulan hak di bawah perlembagaan.” – 9 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen