Pemangku menteri pendidikan sudah diputuskan, kata Guan Eng


Noel Achariam

Menteri Kewangan Lim Guang Eng berkata pemangku menteri pendidikan akan diumumkan dalam masa terdekat oleh perdana menteri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulekfli, 8 Januari, 2020.

PEMANGKU menteri pendidikan akan menggalas tugas Maszlee Malik, yang diarahkan berundur daripada jawatannya minggu lalu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng, sambil menambah pengumuman mengenainya akan dibuat tidak lama lagi.

“Kami sudah membuat keputusan mengenainya, tetapi biarlah PM (Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad) mengumumkannya,” kata Lim selepas menghadiri Hari Terbuka Lembaga Hasil Dalam Negeri di Kuala Lumpur hari ini.

Awal minggu ini dilaporkan yang bekas menteri pendidikan Maszlee diberitahu agar berundur selepas didakwa gagal mematuhi arahan Kabinet.

Jumaat lepas, Maszlee mengumumkan peletakan jawatannya, memetik tiga keputusannya yang dianggap menjejaskan kerajaan Pakatan Harapan.

Tiga keputusan yang beliau nyatakan adalah mengenai pengajaran Jawi di sekolah vernakular, menyediakan sekolah dengan akses Internet, dan program sarapan percuma di sekolah.

Semalam, Dr Mahathir berkata Maszlee tidak disingkir sebagai menteri pendidikan disebabkan isu tertentu, tetapi mengesahkan beliau diminta untuk berhenti.

Bekas menteri pendidikan itu tidak seharusnya dipersalahkan kerana semua masalah dalam kementerian itu, kata Dr Mahathir.

“Sekarang ini saya rasa surat yang saya tulis kepadanya sudah didedahkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Ada banyak alasan. Saya tidak kata semua perkara yang dia buat salah. Ada yang dia buat betul tetapi kerana alasan-alasan lain, saya berpendapat dia perlu letak jawatan, dan dia setuju. 

“Jadi dia letak jawatan,” katanya. – 8 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen