Saya tiada bajet untuk biaya program, kata Rosmah 


Asila Jalil

Isteri perdana menteri Rosmah Mansor berkata pelbagai organisasi melantik beliau menjadi penaung hanya kerana untuk bantuan mendapatkan dana.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2017.

ROSMAH Mansor hari ini berkata pelbagai organisasi berusaha menjadikannya sebagai penaung semata-mata untuk mendapatkan dana dan bukan kerana peranannya.

“Biasanya orang yang mendekati saya dan minta saya menjadi penaung atau presiden (organisasi mereka) bukan sebab kerja (peranan saya), tetapi lebih kepada untuk dapatkan dana,” kata Rosmah pada majlis pelancaran Program Pendidikan Berterusan Kejurulatihan Sains Sukan YAKEB-Siri di Institut Sukan Negara (ISN).

Rosmah bagaimanapun menegaskan beliau tiada bajet untuk membiaya program besar.

“Kamu boleh tanya Khairy (Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaludin), saya tiada bajet.

“Kalau saya ada, pembangkang akan tanya bagaimana Rosmah dapat dana? Mereka tidak tahu ramai yang minta macam-macam.

“Saya cuba bantu apa yang boleh, tapi kalau saya tiada cara, saya serahkannya kepada Najib (Perdana Menteri Najib Razak),” kata Rosmah.

Program Pendidikan Berterusan Kejurulatihan Sains Sukan menyasarkan untuk memberi latihan kepada bekas atlet untuk menjadi jurulatih profesional.

80 orang mendaftar untuk kursus selama empat hari itu yang bermula hari ini sehingga 5 November.

“Sebagai penaung YAKEB, saya berbesar hati mereka (YAKEB) mengambil inisiatif untuk manfaat bekas atlet.

“Saya diberitahu terdapat bekas atlet dan ahli YAKEB yang menjadi jurulatih tapi tidak boleh pergi jauh kerana tiada lesen jurulatih daripada ISN.

“Justeru, saya amat berbesar hati kerana YAKEB dengan kerjasama ISN membuka peluang kepada mereka untuk mengambil kursus ini,” tambah Rosmah.

Peserta akan melalui beberapa sesi seperti falsafah sukan, biomekanik dan anayomi sukan dan fisiologi dalam kursus itu.

Antara fasilitator terlibat dalam kursus berkenaan termasuklah atlet lagenda negara Marina Chin.

Rosmah juga berkata, sebanyak RM3 juta diperuntukkan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Negara.

Pemangku Pengerusi YAKEB Mohd Azlan Iskandar berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk membayar bil perubatan bekas atlet kerana kebanyakan daripada mereka memerlukan  bantuan perubatan selepas menamatkan karier mereka.

“Selepas menamatkan kerjaya, mereka (bekas atlet) memerlukan bantuan perubatan dan mujurlah mereka datang kepada kita untuk bantuan.

“Kami sentiasa memastikan mereka mendapatkan rawatan dengan betul,” tambahnya. – 2 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen