BEKAS pengerusi cawangan MIC yang didakwa meminta khidmat seks daripada remaja dipindahkan daripada sekolah di mana dia mengajar, kata Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan.
Guru terbabit diberikan tugas di jabatan pendidikan sementara dakwaan kes kesalahan seksual itu disiasat.
Laporan polis turut dibuat terhadapnya.
“Saya mempunyai rakaman audio mengenai perkara itu dan kami sedang menyiasat kes ini,” kata Kamalanathan di lobi Parlimen hari ini.
Timbalan menteri itu berkata, tindakan suspek tidak mewakili 4,000 cawangan MIC yang lain di seluruh negara.
“Kita ada 4,000 pengerusi MIC. Mereka orang yang bereputasi. Seorang ini tidak mewakili yang lain,” kata Kamalanathan.
Timbalan menteri pendidikan itu juga merupakan Ahli Parlimen MIC Hulu Selangor.
Guru terbabit yang juga pengerusi cawangan MIC keluar daripada parti itu selepas insiden terbabit menjadi viral.
Insiden tersebut telah menyebabkan pemimpin MIC terutamanya bendaharinya Vell Paari menghina.
Kamalanathan juga memberitahu media semalam individu terbabit perlu dilucutkan jawatan sebagai guru sekiranya tuduhan itu terbukti benar.
Katanya kementerian turut meminta pejabat pendidikan berkaitan dan jabatan pendidikan negeri untuk membuat laporan berhubung perkara itu.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago sementara itu berkata, kes terbaru itu merupakan petunjuk terdapat keperluan untuk tapisan pra-pekerjaan untuk jawatan yang membabitkan kanak-kanak.
Katanya tapisan pra-pekerjaan itu penting bagi menjamin keselamatan kanak-kanak daripada pemangsa seks.
“Profesion seperti guru dan pengendali pusat asuhan kanak-kanak dan pekerjanya perlu ditapis oleh pihak berkuasa sebelum mereka diambil bekerja,” kata Santiago.
Beliau berkata, sangat menakutkan apabila individu yang dirakam pada klip audio itu yang didakwa menjanjikan pekerjaan kepada remaja sebagai pertukaran untuk seks, bebas selama ini
“Ramai lagi yang sepertinya di luar sana, dengan akses kepada kanak-kanak dan remaja. Jadi penting untuk mengadakan tapisan pra-pekerjaan dan semakan polis yang wajib kepada guru, sukarelawan dan lain-lain yang bekerja dengan kanak-kanak serta memiliki akses kepada mereka,” kata Santiago. – 2 November, 2017.
Komen