Bonus RM2,000 untuk penjawat awam cemerlang di Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

KERAJAAN negeri Pulau Pinang hari ini ketika membentangkan bajet negeri mengumumkan penjawat awam yang mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang akan diberikan bonus RM2,000 pada penghujung tahun.

Bayaran bonus itu akan diberikan kepada semua penjawat awam cemerlang dalam pentadbiran kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, badan korporat dan agensi kerajaan negeri.

Ketua Menteri Lim Guan Eng ketika membentangkan bajet negeri bagi 2018 di Dewan Undangan Negeri hari ini berkata bonus itu akan dibayar hujung tahun ini juga.

“Kami tidak akan tunggu sampai tahun depan untuk bayar bonus, bukan seperti kerajaan persekutuan yang tidak ada duit (untuk bayar dalam tahun ini).

“Mereka tidak tahu hendak urus wang. Belajarlah urus kewangan untuk bayar (bonus) dalam tahun sama,” katanya, menyindir Putrajaya.

Perdana Menteri Najib Razak dalam pengumuman Bajet 2018 minggu lalu berkata penjawat awam persekutuan akan menerima bonus RM1,500 bonus dengan RM1,000 dibayar pada Januari dan selebihnya sebelum sambutan Aidilfitri.

Lim juga mengumumkan bantuan tunai tahunan untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas dan orang kurang upaya (OKU) akan dinaikkan 30% bermula tahun depan.

Katanya, kenaikan itu dibuat selepas mempertimbangkan maklum balas daripada rakyat.

“Pemberian RM100 di bawah program penghargaan warga emas adalah dividen anti rasuah yang pertama diperkenalkan oleh kerajaan negeri.

“Sehingga 1 November, kami mengagihkan hampir RM20 juta kepada 193,823 warga emas. Kenaikan bantuan itu akan menyaksikan peningkatan RM6 juta,” katanya.

Kenaikan 30% untuk bantuan itu akan memberi manfaat kepada 10,478 penerima.

Lim turut mengumumkan bonus RM300 untuk sekolah Islam, guru sekolah Kafa dan sekolah Cina swasta.

Mereka yang mengajar di sekolah tahfiz, sekolah pondok dan tadika Islam akan menerima RM200 setiap seorang. – 2 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen