Kemarau tidak jejaskan bekalan beras negara


Sheridan Mahavera

Kemarau yang sedang melanda negara sekarang memberi kesan kepada pesawah tetapi tidak menjejaskan bekalan beras negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2020.

BEKALAN beras negara tidak terjejas walaupun kemarau melanda kawasan jelapang padi Kedah dan Perlis, kata kumpulan petani.

Ini adalah disebabkan kebanyakan pesawah padi di kawasan itu mampu mengairi bendang mereka dengan sumber air dipam dari sungai berhampiran walaupun simpanan air di dua empangan yang membekalkan bekalan air kini berada pada tahap rendah.

Bendang yang kering kontang disebabkan musim panas melampau sekarang adalah milik pesawah yang bergantung sepenuhnya kepada Empangan Pedu dan Muda untuk mengairi tanaman mereka, kata Pengerusi Lembaga Peladang Kebangsaan Kedah Musa Khamis.

Kemarau yang berlaku sekarang mencetuskan kebimbangan ia akan menjejaskan bekalan beras negara disebabkan kegagalan petani menuai hasil tanaman mereka.

Jelapang padi Kedah-Perlis membekalkan sebahagian besar bekalan beras negara dan memenuhi hampir 47% permintaan beras tempatan, katanya.

Bakinya dipenuhi oleh bekalan dari negeri Semenanjung lain, Sabah serta diimport dari negara jiran seperti Thailand dan Vietnam.

“Hanya satu daerah daripada 13 daerah di Kedah terjejas. Hampir satu pertiga pesawah di daerah Kubang Pasu terjejas,” kata Musa kepada The Malaysian Insight.

Di Perlis pula, hampir separuh pesawat di kawasan Parlimen Padang Besar seperti di Bintong, Titi Tinggi, Mata Ayer dan Chuping terjejas, kata Ketua LPP Cawangan Kuala Perlis Hamdan Hassan.

Petani terlibat tidak berada di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Pembangunan Pertanian Muda (Mada), kata Hamdan.

Jelapang padi Kedah-Perlis membekalkan sebahagian besar bekalan beras negara dan memenuhi hampir 47% permintaan beras tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2020.

Mada menyelia dan membantu hampir 90% pesawah di kawasan Kedah-Perlis dengan memberikan nasihat teknikal, baja, bahan racun perosak dan pengairan.

“Antara tiga hingga empat ribu pesawah dan 200 hektar terjejas. Tetapi secara kolektifnya, hasil tuaian mereka tidak sampai 10% daripada jumlah hasil kawasan ini.”

Pesawah lain di kawasan itu dijangka mampu menuai hasil tanaman mereka dan mencapai sasaran tuaian menjelang Februari, kata Musa pula.

“Tidak banyak kesan kepada bekalan negara secara keseluruhannya,” tambahnya lagi.

Dalam lawatannya sebelum ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dijangka membantu mengalirkan sumber air kepada pesawat terjejas dengan cuaca panas sekarang.

Disebabkan sistem pengairan Mada, pesawah di kawasan Kedah-Perlis mampu menanam padi sebanyak dua kali setahun, pertama antara Mac dan Julai dan kali kedua antara September dan Januari.

Tetapi, cuaca panas luar biasa mengganggu musim penanaman kedua 2019 kerana hujan yang selalunya turun pada November hingga Mac, tiba-tiba berhenti pada Disember, kata Musa.

“Sepatutnya sudah boleh tanam pada Januari, tetapi ramai yang terpaksa bermula lambat. Jadi penuaian untuk musim ini akan lewat dan musim penanaman 2020 pun akan lewat.”

Tahap air di Empangan Muda dan Pedu tidak naik kerana kekurangan hujan di kawasan takungan air Muda.

Petani di utara Kedah yang bergantung sepenuhnya kepada dua empangan ini paling teruk terjejas, kata Hamdan pula.

“Pesawah di daerah lain, di Alor Setar, Pendang, Yan dan Guar Chempedak masih mampu mengairi tanaman mereka dan padi nampak elok.” – 8 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen