Moon cadang Korea Utara, Selatan mula rundingan kerjasama wilayah sempadan


Dalam amanat Tahun Baharunya, Presiden Moon Jae-in mencadangkan kedua-dua Korea melakukan usaha bersepadu bagi menjayakan kunjungan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un ke Korea Selatan seperti yang dipersetujui. – Gambar AFP, 7 Januari, 2020.

PRESIDEN Moon Jae-in mencadangkan pada Selasa bahawa kedua-dua Korea melakukan usaha bersepadu bagi menjayakan kunjungan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un ke Korea Selatan seperti yang telah dipersetujui, lapor agensi berita Yonhap.

Dalam amanat Tahun Baharunya, Moon turut mengesahkan komitmen pentadbiran beliau untuk meneruskan dua projek utama antara Korea iaitu kompleks perindustrian Kaesong dan pusat pelancongan Gunung Kumgang serta menyambung semula jalan raya dan landasan kereta api.

Usaha yang relevan telah menunjukkan sedikit kemajuan apabila Seoul mematuhi sekatan yang dikenakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terhadap Pyongyang.

“Saya berharap Korea Selatan dan Korea Utara akan menjalin usaha sama bagi membolehkan kunjungan balas Pengerusi Kim Jong-un dilakukan dalam masa terdekat,” kata Moon dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen.

Beliau juga meminta konsultasi dalam penubuhan pasukan yang bersatu di Sukan Olimpik Musim Panas Tokyo yang bakal berlangsung pada akhir bulan Julai dan berarak bersama pada majlis pembukaannya.

Moon mencadangkan agar kedua-dua Korea memulakan rundingan mengenai “kerjasama wilayah sempadan” sambil menambah bahawa “Saya percaya Pengerusi Kim Jong-un mempunyai kehendak yang sama.” – Bernama, 7 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen