PAKATAN Harapan (PH) yang sekarang jadi kerajaan sedang menanggung padah atas segala kritikan yang dihamburkannya dahulu semasa jadi pembangkang, kata Dr Mahathir Mohamad.
“Mana-mana kerajaan akan dikritik. Yang paling seronok ialah jadi pembangkang. Pembangkang dulu 60 tahun mengkritik kerajaan. Pembangkang itu sekarang sudah jadi kerajaan. Jadi dia kena pulang paku buah keras,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Dr Mahathir menjawab kritikan berhubung laporan bahawa kerajaan sedang mendapatkan kenderaan rasmi baharu bagi menteri dan pegawai kanan pentadbiran.
Langkah itu dibuat susulan tamat tempoh konsesi 25 tahun yang sebelum ini dipegang syarikat pembekal perkhidmatan kenderaan Spanco Sdn Bhd pada akhir tahun lalu.
Laporan berkenaan, kononnya kerajaan mahu membeli kereta Toyota Vellfire untuk menteri dan Honda Accords untuk pegawai kanan, mencetuskan cemuhan masyarakat umum.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng minggu lalu berkata kontrak pembekalan perkhidmatan kenderaan kerajaan itu akan diputuskan oleh Kabinet dalam mesyuarat mingguan pertamanya bagi tahun ini, dijadual esok. – 7 Januari, 2020.
Komen