Kerajaan tidak cekap hebahkan benda betul, kata Dr Mahathir


Noel Achariam

Perdana Menteri Dr Mahathir menarik perhatian bahawa Malaysia masih stabil walaupun melalui peralihan kuasa kerajaan, yang pertama dalam sejarah sejak Merdeka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 7 Januari, 2020.

KERAJAAN bukan berada di landasan yang salah, kata Dr Mahathir menepis kajian terbaru Merdeka Centre, sebaliknya perdana menteri menyifatkan pentadbirannya hari ini tidak begitu cekap menghebahkan perkara betul yang ia sudah lakukan.

Dr Mahathir menarik perhatian bahawa Malaysia masih stabil walaupun melalui peralihan kuasa kerajaan, yang pertama dalam sejarah sejak Merdeka.

“Ya, kerajaan ini tidak begitu cekap menceritakan apa yang ia sudah lakukan. Tetapi kena ingat, negara ini sangat beruntung. 

“Apabila berlaku peralihan kerajaan, tiada apa-apa berlaku, semuanya berjalan lancar,” katanya, dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Katanya, selepas pilihan raya umum bersejarah 20 tahun lalu, Putrajaya mempunyai kerajaan yang boleh mentadbir walaupun dibentuk dengan pakatan pelbagai parti politik.

“Kerajaan dibentuk walaupun dengan pakatan empat buah parti politik bersama sebuah parti lain dan beberapa individu, kita masih ada Kabinet yang berfungsi yang boleh buat keputusan.

“Hari ini banyak orang melabur di negara ini. Tetapi kita tidak mengumumkannya apabila mereka melabur,” tambahnya.

Beliau lalu menyebut contoh di beberapa negara dan rantau lain yang bergolak dengan pelbagai masalah dan menegaskan bahawa sebagai perbandingan Malaysia masih stabil. 

“Kita agak stabil. Kita tidak berkelahi dan berbunuh antara satu sama lain, tidak ada,” katanya. 

Merdeka Centre dalam kajian terbarunya mendapati 61% responden yang ditemubual pada November lalu merasakan kerajaan berada di landasan yang salah, dengan hanya 26% yang merasakan sebaliknya.

Mereka meletakkan isu ekonomi sebagai kebimbangan utama. – 7 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen