FILEM komedi gelap arahan Bong Joon-ho, “Parasite” telah dinobatkan sebagai filem berbahasa asing terbaik di Anugerah Golden Globe pada Isnin (waktu Korea), lapor agensi berita Yonhap.
Dalam satu majlis yang berlangsung di Beverly Hilton, Beverly Hills, California, “Parasite” menggondol anugerah itu selepas menewaskan “The Farewell” arahan Lulu Wang, “Pain and Glory” arahan Pedro Almodovar, “Les Miserables” arahan Ladj Ly dan “Portrait of a Lady on Fire” arahan Celine Sciamma.
Ini merupakan kali pertama sebuah filem Korea merangkul hadiah yang diberikan oleh Hollywood Foreign Press Association.
Ia turut dicalonkan bagi kategori skrip terbaik dan pengarah terbaik namun gagal tewas kepada Quentin Tarantino (Once Upon a Time in Hollywood) dan Sam Mendes (“1917”).
“Parasite” telah disenarai pendek bagi kategori filem cetera antarabangsa terbaik di Anugerah Akademi yang akan datang.
Lima calon terakhir bagi anugerah itu akan diumumkan pada 13 Januari.
Sejak ditayangkan di Amerika Syarikat pada Oktober 2019, filem itu telah mengaut pungutan kasar kasar lebih AS$23 juta dan menjadi filem dengan sari kata paling popular bagi tahun tersebut. – Bernama, 6 Januari, 2020.
Komen