Larangan jual air zam zam tahun 2017 masih terpakai, kata sumber kedutaan


Zaim Ibrahim

Air zam zam merupakan antara tujuh barangan larangan eksport dari Arab Saudi.– Gambar AFP, 6 Januari, 2020.

KENYATAAN pejabat Kedutaan Arab Saudi di Malaysia tentang larangan penjualan air zam zam di negara ini pada 2017 masih lagi terpakai hingga sekarang, kata seorang sumber dari pejabat kedutaan negara itu.

Beliau yang enggan dikenali memberitahu, pejabat Kedutaan Arab Saudi juga hairan mengapa isu tersebut meletup sejak semalam.

“Notis larangan yang dikeluarkan pada 2017 masih lagi terpakai.

“Air zam zam tidak boleh dijual.

“Setakat ini, air zam zam hanya boleh didapati secara percuma iaitu sebotol bagi setiap seorang jemaah haji atau umrah,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Jelasnya, Arab Saudi tidak akan masuk campur jika isu tersebut berbangkit semula sekarang kerana mainan politik oleh pihak tertentu.

Beliau menambah satu kenyataan rasmi daripada pejabat kedutaan akan dikeluarkan selepas ia dibincangkan dengan pihak berkuasa di Riyadh.

Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur pada 2017 mengeluarkan satu kenyataan menganggap penjualan air zam zam di mana-mana kedai di Malaysia sebagai penipuan terhadap orang Islam.

Isu penjualan air zam zam kembali berbangkit sejak beberapa hari lalu sehingga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terpaksa sekali lagi mengeluarkan peringatan larangannya melalui satu kenyataan di Facebook dan Twitter.

Kenyataan itu kemudian disalah tafsir apabila sesetengah pihak memainkan sentimen kaum dan agama dengan menuduh kononnya pentadbiran Pakatan Harapan melarang air zam zam dijual di negara ini, sedangkan larangan itu sudah berkuat kuasa sejak 2017.

Air zam zam adalah antara tujuh barangan larangan eksport dari Arab Saudi, berdasarkan keputusan kerajaan negara itu pada 2017.

Awal hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengeluarkan satu lagi kenyataan, mengulangi kenyataan kementerian 13 Mei 2015 dan 9 Disember 2017.

“Air zam zam dikategorikan sebagai air mineral semulajadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Pengimportan air mineral semulajadi memerlukan lesen punca air KKM setelah mendapat pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport,” kata Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Kedah Ustaz Ahmad Yahaya meminta kerajaan berunding dengan Arab Saudi bagi melantik syarikat tertentu mengurus pembekalan air zam-zam.

Katanya, syarikat yang mendapat kebenaran itu boleh dikenakan syarat misalnya meletakkan logo hologram untuk mengesahkan keaslian.

“Air zam zam banyak kegunaannya bukan sekadar untuk diminum.

“Ia merupakan air terbaik di dunia dan juga digunakan tujuan perubatan,” katanya, seperti dipetik Harakahdaily.

Sementara itu, penceramah agama bebas, Wan Ji Wan Hussin berharap air zam zam tidak dimanipulasi untuk mendapatkan keuntungan.

Pada masa sama, beliau membangkitkan satu lagi masalah lain iaitu “air jampi”.

“Ada satu perkara yang berlaku di Malaysia dan hampir tidak ada di Saudi, iaitu menjual air mineral yang asalnya harga RM1 sebotol telah menjadi RM15 sebotol, hanya kerana dibacakan 30 juzuk Al-Quran.

“Mungkin ini projek pertama yang kerajaan Malaysia kena buat… bukan haramkan minum air, tapi haramkan memanipulasikan agama melalui air,” tulisnya di Facebook.– 6 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen