Pendapatan nelayan semakin baik, kata Salahuddin


Sheridan Mahavera

Ini selepas kerajaan melancarkan operasi khas Ops Naga terhadap kapal bot nelayan asing, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 Januari, 2020.

PENDAPATAN dan hasil tangkapan nelayan tempatan bertambah baik selepas kerajaan melancarkan operasi khas Ops Naga terhadap bot nelayan asing, kata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menterinya, Salahuddin Ayub berkata kira-kira 220 bot nelayan asing kebanyakannya dari Vietnam dirampas sepanjang enam bulan Ops Naga dijalankan. Kebanyakan bot nelayan asing ini dilupuskan di perairan negara.

Salahuddin berkata bot-bot tersebut selama ini beroperasi secara haram dalam lingkungan 60km dari pantai dan mengaut hasil tangkapan seperti ikan kembung dan mabong.

Nelayan asing menggunakan bot melebihi saiz yang dibenarkan dan pukat yang diharamkan yang merosakkan terumbu karang yang menjadi tempat pembiakan ikan.

“Hasil lawatan saya ke Mersing dan Kemaman, nelayan di sana beritahu saya hasil tangkapan mereka meningkat dalam tempoh tiga bulan lepas sebelum musim tengkujuh. Jadi Ops Naga ini berkesan,” kata Salahuddin kepada pemberita di kementeriannya hari ini.

“Saya akan cadang kepada perdana menteri supaya lanjutkan operasi yang yang diketuai oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.”

Tambah Salahuddin, 129 pasar nelayan yang ada sekarang ini juga sedang ditambah di seluruh negara.

“Pasar-pasar ini juga sudah mula mencapat sasaran yang ditetapkan, iaitu menyekat orang tengah dalam rantaian pembekalan ikan.” – 6 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen