Mansuh 2 tol, Putrajaya bayar RM102 juta setahun pada PLUS


Melati A. Jalil

Menerusi Bajet 2018 yang dibentangkan minggu lalu, empat tol dimansuhkan termasuk di plaza Batu Tiga dan Sg Rasau. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2017.

PUTRAJAYA akan terpaksa menyediakan wang kira-kira RM102 juta setahun sebagai pampasan kepada pengendali lebuh raya PLUS Malaysia Bhd susulan keputusannya untuk mengakhiri kutipan tol di plaza Batu Tiga dan Sg Rasau, kata Menteri Kewangan II Johari Abdul Ghani.

Bercakap pada satu sesi soal jawab di TV3 malam tadi, Johari berkata anggaran RM8 juta perlu dibayar bagi memansuhkan tol di Bukit Kayu Hitam Kedah.

“Bagi dua plaza tol (Batu Tiga dan Sungai Rasau), ia RM102 juta setahun dan kami guna sumber kerajaan.

“Bagi tol Bukit Kayu Hitam, dianggarkan sekitar RM8 juta,” katanya.

Program Nightline TV3 kemudian melaporkan pampasan bagi memansuhkan tol di Lebuh raya Skim Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur juga sebanyak RM8 juta.

Bagaimanapun, Johari tidak menyatakan berapa lama tempoh pampasan itu.

“Kami fikir ia dalam kemampuan kami, kerana ekonomi semakin baik dan kukuh, jadi kami menerimanya. Plaza tol Batu Tiga dan Sg Rasau digunakan oleh 155,000 kenderaan setiap hari.

“Jadi bila kami minta mereka menghentikan kutipan tol bermula 1 Januari, 2018, mereka akan kehilangan pendapatan RM102 juta setahun dan jumlah itu perlu diberi pampasan oleh kerajaan,” katanya.

Jumaat lalu, selepas pembentangan Bajet 2018, Johari berkata PLUS akan diberi pampasan bagi membolehkan empat plaza tolnya dimansuhkan tetapi ia bukan dalam bentuk wang tunai.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata Putrajaya akan membayar pampasan kepada PLUS bagi baki 20 tahun kontrak, yang akan tamat pada 31 Disember, 2038.

PLUS pada masa ini mempunyai 94 tol seluruh negara. Antaranya ialah Lebuhraya Baru Lembah Klang, Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Butterworth-Kulim dan Jambatan Pulau Pinang. – 2 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen