Ekonomi Malaysia akan lebih baik untuk tahun 2020, kata Lim Guan Eng


Zaim Ibrahim

beberapa peruntukan Belanjawan 2019 tidak dapat dilaksanakan pada tahun lepas dan ia akan digunakan pada 2020 yang bakal menyaksikan dua perbelanjaan pembangunan termasuk Belanjawan 2020.

MENGAKUI isu ekonomi sebagai beban utama rakyat, Lim Guan Eng berkata, keadaan ekonomi Malaysia bagi tahun 2020 akan bertambah baik. 

Menteri Kewangan itu menjelaskan, kerajaan juga sudah merangka pelan pemulihan fiskal negara yang akan tamat pada 2021.

Bagi 2020, harga komoditi yang lebih tinggi dan keadaan perang dagangan Amerika Syarikat dengan China yang semakin reda menjadi faktor yang bakal memberi kelebihan kepada negara.

“Yang pertama harga komoditi naik, bukan sahaja minyak tetapi juga harga kelapa sawit.

“Perang dagangan antara AS- China dijangka lebih stabil dan suasana ketegangan akan turun, dan daripada segi domestik, perbelanjaan kerajaaan akan bertambah,” kata beliau dalam satu sidang media di Georgetown, Pulau Pinang.

Jelasnya, beberapa peruntukan Belanjawan 2019 tidak dapat dilaksanakan pada tahun lepas dan ia akan digunakan pada 2020 yang bakal menyaksikan dua perbelanjaan pembangunan termasuk Belanjawan 2020.

Selain tiga faktor tersebut, Guan Eng turut menyenaraikan perkara yang lain.

“Reformasi institusi akan bantu dengan penjimatan, keberkesanan tercapai.

“Terakhir adalah inisiatif  kerajaan yang akan menyuntikkan dana kepada pasar, salah satunya dalah program e-wallet yang akan dijalankan minggu depan,” katanya

Guan Eng berkata, Malaysia tahap ekonomi negara masih berada pada tahap yang baik berbanding negara-negara jiran.

Kita boleh lihat pertumbuhan ekonomi negara masih sihat, unjuran pertumbuhan ekonomi kira-kira 4.7 peratus, lebih baik berbanding negara-negara lain.

“Sesetengah negara-negara jiran jauh lagi teruk, tetapi kami yakin bahawa tahun ini kedudukan ekonomi akan lebih baik berbanding tahun lepas,” tambahnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan kajian Merdeka Centre, yang mendapati 61% pengundi bimbang terhadap isu ekonomi negara. 

Daripada 738 responden yang mengambil bahagian dalam tinjauan itu pada hujung November lalu, 26% daripadanya menyuarakan kebimbangan ekonomi sebagai isu utama dan menjadi sebab mereka percaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tersasar dari landasan yang betul.

Antara kebimbangan yang disuarakan responden adalah, situasi ekonomi yang tidak menguntungkan secara umum (10.9%); kos sara hidup tinggi/inflasi (9%); isu gaji/pendapatan minimum/pendapatan rendah (2%); masalah pengangguran (1.6%) dan ringgit melemah (1.6%). – 5 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen