BOSAN menyambut tahun baharu melihat bunga api atau terperangkap dalam riuh-rendah di pusat bandar raya, saya memilih melepak di kafe teh tarik Dwitasik Bandar Sri Permaisuri, Cheras.
Sebelum keluar rumah, saya sudah bersedia dengan RM50. Malah, nekad untuk mendekati kumpulan anak muda di meja kafe.
Tanpa malu, saya akan menyapa mereka dan menawarkan dengan rendah hati untuk duduk berbual. Saya ingin mendengar komen anak muda mengenai buku, karya sastera dan Sasterawan Negara (SN).
Tidak mudah pada era ini untuk seorang tua mendekati meja kafe tempat melepak anak muda. Apalagi berbual. Anak muda pada masa ini pasti sedang rancak bergebang soal persaingan Juara Liga Inggeris.
Tiba di kafe popular popular Dwitasik, saya memberikan salam. Memperkenalkan diri dan minta izin duduk semeja.
“Assalamualaikum…. boleh pakcik duduk sembang sekejap. Minta maaf kalau mengganggu.”
Saya tidak berslanga cara anak muda dengan mengguna “bro” atau “gais”. Tetapi, dengan kasut kanvas, jean lusuh dan baju T Led Zappelin, saya harap dapat menghapuskan segala prejudis.
Anak muda tidak suka didatangi penjual insurans, agen pelaburan, penjual doa dan penyelidik maklum balas. Apalagi penyebar ideologi politik.
Saya sempat mendengar lima anak muda ini bergebang rancak mengenai rokok elektronik dan jenis perisanya yang laris di pasaran.
“Boleh,” jawab anak muda yang sangat stailo rambutnya: “Pakcik selalu datang ke barber (kedai gunting rambut) saya.”
Lega. Rupanya anak muda dengan gaya rambut ala era British klasik ini mengecam wajah saya. Dia bekerja di barber popular Dwitasik dan saya sering berkunjung ke situ.
Maaf, kami memang buta sastera
“Saya memang tak membaca apa-apa buku sejak lepas SPM pada 2013,” kata Haikal Ibrahim, pekerja gunting rambut.
Haikal tinggal di Kondominium Cengal, Bandar Sri Permaisuri. Status rumahnya agak berprestij di sekitar Bandar Tun Razak.
“Kalau pasal buku, saya minta maaf pakcik. Saya pun sama. Langsung tak membaca buku sejak tamat SPM,” kata Daniel Izham.
Daniel dan Haikal sebaya – berusia 23 tahun. Meja bulat kafe turut disertai Izhan Shahmi, Nazerul Saddam dan Eidil Shakil Azhari.
Tidak tahu sasterawan negara
Saya mengeluarkan empat buku yang sudah diletakkan dalam beg sendeng. Saya unjur di atas meja. Secara sopan, mempelawa mereka memesan minuman baharu.
“Ada yang kenal A Samad Said?” Tanya saya.
Semua mereka tersenyum. Nazerul mengambil buku dan memerhati pada kulit buku. Saya menghulurkan tiga buku lagi pada rakan-rakannya.
“Ini semua karya sasterawan negara. Harap-harap, kamu semua kenal.”
Selepas dua minit, saya mendapat keputusan mutlak. Tidak seorang pun kenal A. Samad Said, Shahnon Ahmad, Usman Awang dan Keris Mas.
Malah, mereka sedikit malu apabila saya menyebut nama sepuluh lagi SN. Saya memaparkan wajah-wajah dan karya-karya SN dalam aplikasi Google. Mereka nampak benar-benar tidak tahu.
Mudah cakap, bukan soal nama dan buku sahaja – istilah SN itu sendiri mengelirukan mereka.
“Saya dan Nazerul satu kelas dulu. Kami belajar sastera dalam Komsas, tapi tak tahu apa satu pun pasal dunia sastera,” kata Eidil Shakil.
Mereka bertanya sama ada saya seorang penulis atau bertugas sebagai agen survei.
Saya tersenyum dan mengatakan sedang melakukan tinjauan kasual untuk menulis rencana mengenai anak muda dan buku.
“Tahun 2020 ini Kuala Lumpur diisytihar Kota Buku Dunia Unesco (KLWBC),” kata saya.
Soalan pertama selepas isu SN ialah apa itu KLWBC?
Saya menjelaskan dulu mengenai status SN dan nampak mereka tidak dapat memahami langsung apa yang dimaksudkan.
Saya memgalih topik dengan menyebut nama-nama penulis indie dan aktivis muda dunia sastera. Bermula dari karya Wani Ardy dan Aloy Paradoks sampai ke nama *performer* Alif Awan dan Jack Malik.
“Kami tak pernah dengar. Sebenarnya di Cheras tak ada geng buku,” kata Izhan.
Saya hanya angguk kepala.
“Tak apa. Ini hanya survei saja. Lagi satu nak tanya, kalau ada KLWBC, acara apa yang akan menarik kamu ke lokasi?” Tanya saya.
Lima anak budak ini terdiam. Memang mereka langsung tidak boleh membayangkan apa yang dimaksudkan.
“Maksud saya. Apakah kamu akan membeli buku kalau ada pasar buku murah? Atau, kamu akan ke Dataran Merdeka menyaksikan gig band underground memainkan lagu-lagu yang liriknya dari puisi?” Tanya saya.
Sekarang baru masuk mood berbual. Sebab saya tahu, kedai gunting tempat Haikal bekerja sentiasa dipenuhi dengan muzik.
Kedai gunting bertema British klasik itu memang sentiasa bergema dengan muzik yang advance dan pseudo indie.
Saya yakin, kawan-kawannya juga pasti pernah melepak di kedai gunting yang sama. Mereka berkongsi minat muzik yang sama.
“Kamu semua akan datang ke KLWBC kalau band indie buat gig dan mainkan lagu-lagu puisi?” Tanya saya.
“OK saja pakcik. Artic Monkey, Radiohead, Oasis, Muse, Ten, Blur dan Coldplay pun lirik memang bunyi puisi juga,” kata Eidil Shakil.
Muzik agen sastera
Saya berbual sambil mencatat nota di henfon. Sesuatu yang pelik bagi lima anak muda ini.
Cuma, mereka sedikit respect sebab saya peminat Artic Monkey dan Muse. Malah, menceritakan pelopor muzik grunge seperti Nirvana, Mother of Bone, Stone Temple Pilots dan Sound Garden.
“Pada dekad 90-an grunge mesra puisi dalam lirik lagu mereka. Nirwana memang pelopor lirik dengan tema jiwa kacau,” kata saya.
“Wah, pakcik minat Kurt Cobain juga,” kata Izhan.
“Ya,” jawab saya.
Muzik, kata saya – sejak era woodstock 70-an, puisi sudah sebati dengan nilai muzik hippie. Lirik-lirik anti perang dan kritik politik sudah lama wujud secara meluas dalam lagu-lagu Bob Dylan, John Lennon dan Janis Joplin.
“Led Zeppelin, Pink Floyd serta U2 dan Bono melengkapkan pengaruh puisi dalam muzik woodstock pada era rock and blues 80-an dan 90-an,” kata saya.
“KLWBC ini pasal buku atau muzik?” Tanya Daniel.
“Ia terbuka. Apa saja yang boleh buat generasi muda menghargai karya sastera terutama puisi, akan jadi acara. Tentunya untuk geng kamu, sasteranya dalam muzik,” kata saya.
“Wah… menarik,” kata Izhan.
Sastera, ska, grunge dan punk
Kami berbual panjang mengenai muzik ska, punk dan grunge. Dari scene tempatan sampai ke scene muzik undergroud di Indonesia.
Tentunya rancak, bertukar-tukar ingatan nilai puisi dalam lirik lagu-lagu Superman Is Dead dan Tipe X dari Bali dan Jakarta.
Anak-anak muda ini memperkenalkan pada saya band indie Malaysia seperti Muck, Shizuka, Nice Stupid Playground dan Laila Lounge.
Cuma, mereka terkedu apabila tiba nama Carburator Dunk.
“Penyanyi utamanya Bob, kawan baik saya. Jangan lupa Aru dan Republic of Brickfield dan Raggaejoe vokalis Pure Vibracion,” kata saya.
Sesekali melepak dengan anak muda, kita belajar pentingnya berkolaborasi bagi meluaskan migrasi minat generasi baru terhadap sastera.
Memang muzik dan sastera adalah dua sepupu yang wajar kembali bersaudara. – 5 Januari, 2020.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen