Budaya Korea kini berakar dalam masyarakat Malaysia


Nabihah Hamid

Kewujudan banyak kedai dan kawasan yang menjual barangan Korea menggalakkan pelancongan negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 5 Januari, 2020.

BUDAYA Korea yang kini semakin popular di Malaysia bukan hanya fenomena sementara kerana pengaruhnya dilihat begitu besar di kalangan masyarakat tempatan.

Ia kini berakar dan mencorak pelbagai aspek buday, dari selera muzik, filem dan drama televisyen, hinggalah kepada selera pemakanan masyarakat kita. 

Di sekitar Lembah Klang, banyak restoran dan pasar mini Korea tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.

Tidak ketinggalan, perniagaan seperti butik pakaian dan salun rambut yang menyediakan rekaan dan dandanan terkini gaya Korea.

Hinggakan, sesetengah kejiranan di ibu negara seperti Desa Sri Hartamas dan Mont Kiara menerima nama jolokan Little Korea, selain Ampang K Street di Ampang.

Malah restoran yang menghidangkan pelbagai menu Korea juga boleh popular di Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Pahang.

Di restoran ini, hidangan klasik dari Korea seperti kimchi, samgyetang (ayam ginseng), bimbibap, bulgogi, ayam rangup dan kek ikan odeng merupakan antara menu popular yang dicari pelanggan.

Seorang pekerja pasar mini Korea, Sally, 45, memberitahu The Malaysian Insight, pelanggannya dari kalangan Melayu dan Cina sememangnya minat dengan makanan dan produk jualannya.

“Pelanggan ramai Melayu dan Cina. Sebab sini banyak makanan korea seperti Kimchi. Di sini pun makanannya halal,” katanya yang sudah enam tahun bekerja di pasaraya tersebut.

Semakin ramai pengguna Malaysia tertarik dengan barangan Korea Selatan yang kini makin mudah didapati. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 5 Januari, 2020.

Ia diakui seorang pelanggan, Koh, 65, yang turut menggemari makanan tersebut.

“(Peniaga Korea) datang sini sudah lama dan buka kedai. Makanan dia unik, boleh tahan dan pedas. Cuma mahal sikitlah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Minat ke atas produk budaya Korea itu juga banyak mendorong warga Malaysia mengunjungi negara tersebut.

Jumlah tersebut meningkat saban tahun, seramai lebih 28,000 pada 2015 kepada lebih 45,000 pada tahun lalu, menurut data Tourism Malaysia.

Pada masa sama, kemunculan banyak kedai makan dan barangan dari Korea itu juga memudahkan warga negara itu untuk mengunjungi Malaysia.

Sepanjang tahun 2018 sahaja, jumlah pelancong Korea ke Malaysia itu berjumlah lebih 616,000 orang, menurut Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.

Sepanjang tahun 2018 sahaja, jumlah pelancong Korea ke Malaysia itu berjumlah lebih 616,000 orang, menurut Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 5 Januari, 2020.

Perniagaan bersungguh-sungguh, terancang

Pertubuhan pengguna pula melihat, keghairahan dan permintaan ke atas produk Korea ini berkait dengan sikap dan kesungguhan warganya untuk membangunkan perniagaan.

Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Nadzim Johan melihat perniagaan tersebut dibangunkan dengan agenda yang jelas dan terancang.

Katanya, kesungguhan peniaga ini untuk memastikan produk makanan mereka mendapat tempat dalam pasaran perlu dicontohi.

“Satu masa dahulu mereka merupakan sebuah negara yang jauh ketinggalan tetapi mereka telah merancang agenda kemajuan mereka dengan cukup bersungguh sungguh.

“Kini mereka ingin bersaing atau merasakan diri mereka lebih daripada Jepun. Dalam drama dia ada promosi Kimchi. Drama Malaysia ada begitu?” katanya.

Budaya Korea yang melanda dunia turut membawa bersamanya beberapa kebimbangan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 5 Januari, 2020.

Menurut Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, perkembangan budaya konsumerisme Korea ini bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia.

Timbalan Pengarahnya Kartini Aboo Thalib berkata budaya ini berkembang seiring dengan pembangunan demokrasi dan kapitalisme di republik Korea Selatan.

“Pelaburan asing kesan daripada kapitalism menggalakkan budaya konsumerisme berdasarkan trend semasa.

“Masyarakat sering mahu mencuba suatu yang baru termasuk makanan rasa baru resepi baru dan lain-lain. Inovasi makanan yang sangat menarik menarik minat orang ramai,” katanya lagi.

Namun katanya kesan buruk atau kebaikan budaya ini tergantung pada penerimaan setiap individu.

“Apa saja jenis budaya yang minatnya terlalu ekstrem tidak akan membawa kebaikan. Tambahan lagi gerakan mubaligh Korea juga berupaya diselit dalam kerancakan konsumerisme ini,” katanya.

Korea Selatan juga merupakan rakan dagang Malaysia kelapan paling besar. – 5 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen