TIADA yang pelik dalam pengambilalihan pengurusan sebuah kuil di negeri ini oleh Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) kerana ia dijalankan mengikut undang-undang, kata P. Ramasamy.
Pengerusi PHEB itu berkata Pengerusi MIC Pulau Pinang M. Nyanasegaran dilihat tidak faham tentang undang-undang dan prosedur dalam hal melibatkan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan pengambilalihan kuil yang dilakukan pihak lembaga.
Ramasamy berkata PHEB mengambil alih pengurusan kuil selepas diperakui oleh Gabenor mengikut Seksyen 4 Ordinan Wakaf Hidu 1906.
“Apabila kita (PHEB) mengambil alih, langkah pertama adalah hanya pengurusan kuil kerana ia sudah dibatalkan pendaftarannya.
“Nyanasegaran keliru tentang kawalan pengurusan dan pengambilalihan harta. Kita tidak mengambil alih harta kuil, tetapi kita hanya mengambil alih pengurusan kuil, seperti yang sudah kita lakukan pada awal Disember selepas dibenarkan Gabenor,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Terdahulu Nyanasegaran menyifatkan tindakan PHEB mengambil alih pengurusan bermasalah Kuil Sri Mangalanayagi Amman, Bukit Tengah di Pulau Pinang pelik.
Nyanasegaran berkata pendaftaran kuil itu di bawah RoS adalah menurut peruntukan undang-undang Akta Pertubuhan 1966 dan bukannya akta lain.
Katanya, menurut akta tersebut, aset kuil sepatutnya diserahkan kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dan bukannya PHEB, menambah yang MdI sepatutnya memegang aset berkenaan sehingga isu itu selesai.
Tindakan pengambilalihan itu dibuat selepas RoS membatalkan pendaftaran kuil itu pada Ogos tahun lepas kerana salah urus.
Dalam pada itu, Ramasamy berkata jabatan insolvensi tidak berkuasa dalam pengambilalihan pengurusan kuil dan mereka hanya boleh terlibat jika permohonan dibuat ke Mahkamah Tinggi untuk mengambil alih harta. – 4 Januari, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen