APABILA berita penyelesaian pertikaian 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan International Petroleum Investment Co (IPIC) milik Abu Dhabi disiarkan, ia melegakan Perdana Menteri Najib Razak.
Beliau dan penasihatnya percaya situasi paling teruk bagi isu yang sekian lama menjadi beban kepada perdana menteri, keluarga dan rakannya sudah tamat.
Daripada diheret melalui timbang tara memalukan di London dengan Abu Dhabi dan membiarkan semua kisah buruk mengenai syarikat Malaysia dan kisah belakang siasatan antarabangsa dan nama terkenal dimainkan sekali lagi, penyelesaian itu memberikan Najib tajuk berita positif dan cerita untuk dibawa kepada rakyat.
Tujuan utama penyelesaian itu memerlukan Malaysia membayar balik Abu Dhabi AS$1.2 bilion sebelum akhir tahun ini.
Jumlah yang mewakili pinjaman dan caj faedah terkumpul pada pakej kewangan bagi bantuan diterima 1MDB daripada IPIC pada Julai 2015.
Sebahagian besar pembayaran ke atas pinjaman tertunggak akan datang daripada penjualan “unit dana” Brazen Sky, unit kewangan yang dimiliki 1MDB.
Penyelesaian itu juga memerlukan kedua-dua pihak membuat rundingan menyelesaikan pertikaian lain yang melibatkan kira-kira AS$3.5 bilion dalam bentuk pendahuluan tunai dan pembayaran daripada 1MDB kepada IPIC.
Penasihat Najib percaya penyelesaian ini boleh melemahkan siasatan pengubahan wang haram oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat dan Singapura berhubung dakwaan penyelewengan dana daripada 1MDB.
Dan dengan pilihan raya yang dijangka diadakan akhir tahun ini, pasukan Najib yakin penyelesaian itu memberikan perdana menteri cerita positif untuk dijual kepada ahli Umno, yang secara jelas kini dipengaruhi pihak pembangkang sejak berita skandal 1MDB terbongkar lebih dua tahun lalu.
Adun Bertam Shariful Azhar Othman berkata, beliau kini boleh memberitahu pengundi isu yang melingkari 1MDB sudah diselesaikan.
Beliau berkata penyelesaian itu juga membuktikan cerita seram tentang 1MDB oleh pembangkang tidak benar.
Analisis politik oleh The Malaysian Insight percaya isu 1MDB mempengaruhi polarisasi pengundi.
Penyokong pembangkang cenderung mempercayai semua dakwaan mengenai penyelewengan dana manakala penyokong Barisan Nasional (BN) gembira menerima naratif kerajaan yang RM2.6 bilion itu merupakan sumbangan kepada Najib oleh kerajaan Arab Saudi.
Profesor Mohammad Redzuan Othman, timbalan pengerusi Institut Darul Ehsan berkata isu 1MDB dimainkan di khalayak ramai sejak sekian lama dan rakyat menerima penderian keras mengenai perkara itu. Sudah terlambat menggerakkan jarum politik mengenai isu ini.
Bagi pengundi atas pagar, mereka secara amnya tidak berminat dalam politik atau isu seperti 1MDB, katanya, mencatatkan berita penyelesaian pertikaian dengan IPIC akan “bukan berita” untuk mereka.
Di kawasan luar bandar, pengundi lebih mengambil kira mengenai parti berbanding isu, kata Mohamad Hisomuddin Bakar daripada Ilham Center.
Bagaimanapun, sebaliknya bagi Tuan Ibrahim Tuan Man, timbalan presiden PAS.
Malam tadi, beliau mengeluarkan satu kenyataan, menyangkal penggunaan istilah “penyelesaian”.
Beliau berkata, ia kelihatan IPIC mendapat segala-galanya yang dituntut dan pembayar cukai dibebani bil kekalahan sebanyak AS$4.7 bilion.
Beliau berkata sejak 1MDB mencanangkan penyelesaian pertikaian sebagai sebahagian pelan keseluruhan untuk merasionalkan syarikat bermasalah itu, mungkin sudah tiba masanya mengumumkan laporan audit ke atas 1MDB.
Secara kebetulan, ini adalah kenyataan kedua beliau dalam tempoh tiga hari mengenai 1MDB.
Bagi pembangkang dan golongan bijak pandai, 1MDB kekal sebagai perkataan empat huruf yang “kotor”. Tiada apa mampu mengubahnya. – 26 April, 2017.
Komen