Biar JPA jawab isu elaun kritikal, kata menteri kewangan


Zaim Ibrahim

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata soalan mengenai elaun tidak boleh dijawab oleh beliau kerana ia bukan di bawah bidang kuasanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2020.

ISU pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) hanya boleh dijawab oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kata Menteri Kewangan Lim Guang Eng.

Katanya, soalan mengenai elaun tidak boleh dijawab oleh beliau kerana ia bukan di bawah bidang kuasanya.

“Itu (isu BIPK) di bawah JPA, bukan Kementerian Kewangan. Kalau tidak nanti awak tanya tentang bukan bidang saya, tidak eloklah,” kata beliau ketika ditemui pemberita di Pulau Pinang.

Jemaah menteri dilaporan akan memutuskan mengenai status elaun kontroversi itu dalam mesyuarat Kabinet pertama untuk tahun 2020 yang akan berlangsung Rabu depan.

JPA pada 20 Disember lalu mengumumkan pemansuhan elaun kritikal membabitkan kakitangan perubatan melalui satu pekeliling.

Menurut JPA, ia berdasarkan kajian oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam yang dipengerusikan perdana menteri dan dimaklumkan kepada Kabinet.

Menurut JPA, elaun itu dimansuhkan kerana 33 skim yang diperuntukkan bawah BIPK tidak lagi tidak lagi menepati kriteria asal pemberiannya iaitu penawaran yang rendah dan kesukaran mengisi jawatan.

Seminggu selepas itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menangguhkan pelaksanaannya selepas pengumuman menimbulkan keresahan penjawat awam.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad turut mengarahkan timbalannya dan pegawai kanan di kementerian berbincang dengan JPA.

Kakitangan kerajaan melalui Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam juga bertegas dengan tuntutan agarkerajaan mengekalkan BIPK bagi 33 skim perkhidmatan tersebut. – 4 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen