Rombakan libat menteri DAP tak dibincang, kata Guan Eng


Zaim Ibrahim

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata isu rombakan Kabinet babit menteri DAP tidak pernah dibincangkan dengan perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2020.

ISU rombakan Kabinet membabitkan menteri DAP tidak pernah dibincangkan dengan perdana menteri, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Setiausaha agung DAP itu berkata beliau sering berjumpa dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tetapi isu rombakan Kabinet tidak pernah wujud.

“Tidak ada, saya selalu jumpa PM tetapi (rombakan Kabinet membabitkan menteri DAP) ini tidak pernah timbul.

“Kita hanya bincang urusan Kementerian Kewangan dan negara, tetapi apa yang dibincangkan dengan PM biarlah sulit,” katanya dalam sidang media di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

Beliau juga mahu pengganti Maszlee Malik yang meletak jawatan menteri pendidikan dibincangkan dalam Pakatan Harapan (PH) tetapi akan diputuskan oleh perdana menteri.

“Saya rasa lebih baik, tentang (menteri) yang baru saya tak tahu siapa akan dilantik sebab saya bukan PM. Biar ini diuruskan oleh PM. Saya yakin (pengganti Maszlee) tentu seorang daripada PH.

“Saya rasa kita bincang bersama PH. Saya ada pandangan peribadi tapi biar bincang dalam mesyuarat PH,” katanya.

Beliau mengulas spekulasi mengenai rombakan Kabinet yang didakwa akan berlaku susulan peletakan jawatan Maszlee, berkuatkuasa semalam.

Awal hari ini, Lim berkata DAP berharap perbincangan dapat diadakan antara parti dalam Pakatan Harapan sebelum memutuskan pengganti Dr Maszlee.

Ini kerana katanya parti itu juga mempunyai pandangan tersendiri berhubung perkara berkenaan dan lebih baik ia dibincangkan terlebih dahulu.

Dr Mahathir pada November lalu mengesahkan rombakan kecil Kabinet mungkin akan dilakukan.

Kenyataan itu susulan pencapaian buruk Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.

Maszlee yang juga ahli Parlimen Simpang Renggam pada Khamis mengumumkan meletak jawatan sebagai menteri pendidikan, berkuatkuasa semalam.

Ia dibuat selepas mendapat nasihat Dr Mahathir, katanya yang menyenaraikan tiga isu – tulisan Jawi, projek internet di sekolah dan isu sarapan percuma – berkaitan peletakan jawatannya.

Selepas pengumuman itu, timbul gesaan daripada pemimpin Bersatu agar perdana menteri turut menasihatkan para menteri lain termasuk dari DAP.

Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Rais Yatim dilaporkan berkata antara menteri yang perlu ditukar adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Selain itu beliau dalam satu laporan portal suaramerdeka.com.my menyarankan Menteri Perpaduan P Waythamoorthy ditukar.

Dr Mahathir pada November lalu menyebut, antara punca kerajaan dilihat lemah adalah kegagalan komunikasi kerajaan. – 4 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen