Kawasan lereng bukit bukan 'bom jangka', kata pakar


Looi Sue-Chern

Insiden tanah runtuh yang mengorbankan 11 pekerja di Lorong Lembah Permai 3, Tanjung Bungah mencetuskan kebimbangan penduduk mengenai tahap keselamatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2017.

KAWASAN lereng bukit bukanlah seperti “bom jangka”, kata pakar geoteknikal Dr Chin Yaw Ming, berikutan kebimbangan yang dibangkitkan beberapa pihak mengenai pembangunan tanah bukit di Pulau Pinang.

Penasihat Unit Perunding Geoteknikal (UPG) Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata kawasan lereng bukit adalah selamat sekiranya direka bentuk dengan baik dan disahkan oleh jurutera profesional yang memiliki sijil amalan berdaftar dengan Lembaga Jurutera dan dengan pihak yang pakar dalam kejuruteraan geoteknikal lain.

“Lereng bukit yang dibangunkan dengan pengawasan kejuruteraan yang baik dan sentiasa dijaga adalah selamat,” katanya dalam sidang media di Komtar hari ini.

Chin berkata demikian sebagai mengulas laporan oleh portal berita Free Malaysia Today yang memetik perunding geoteknikal dan alam sekitar yang berkata cerun lereng bukit ditarah adalah seperti bom jangka pada satu sesi dialog yang dianjurkan Penang Forum Ahad lalu.

Dialog itu diadakan untuk membincangkan isu banjir di Pulau Pinang, dan kebimbangan mengenai pembangunan tanah bukit dan lereng berikutan kejadian tanah runtuh di Lembah Permai, Tanjung Bungah yang mengorbankan 11 pekerja bulan lalu.

Insiden itu kini disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan negeri, yang ditubuhkan untuk menyiasat berkenaan tragedi itu dan pihak pemaju.

“Memandangan siasatan berjalan, semua pihak perlu elakkan membuat spekulasi berhubung tragedi tanah runtuh Tanjung Bungah,” kata Chin sambil menjelaskan bagaimana MBPP menguruskan pembangunan lereng bukit.

Katanya majlis bandaraya itu memahami kepentingan keselamatan lereng bukit untuk pembangunan tanah bukit, dan mengambil inisiatif keselamatan lereng berdasarkan konsep yang digunakan di Hong Kong.

Majlis itu katanya, akan memberi perhatian kepada risiko di tapak pembangunan yang dicadangkan, tapak kuari, ladang dan tanah bukit, menggunakan pakar geoteknikal dan undang-undang untuk memastikan pematuhan.

MBPP juga akan melihat kepada risiko pengairan sedia ada di kawasan bukit, seperti 34 cerun kritikal di pulau itu yang dikenal pasti oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kira-kira lima tahun lalu, melihat semula cadangan serta memantau pematuhan. 

“34 itu kebanyakannya adalah rizab jalan JKR. Sebahagiannya kawasan perumahan, katanya dan menambah pihak majlis turut menyiasat insiden membabitkan kawasan bukit.

Chin berkata MBPP juga menyediakan Garis Panduan Keselamatan 2012 bagi Pembangunan Tanah Bukit dan mekanisme untuk melaksanakan garis panduan keselamatan cerun.

“Kesemua projek baharu perlu mematuhi proses yang ketat dari perancangan, reka bentuk, pembinaan hingga penyelenggaraan; dan ia mesti diperiksa sebelum kelulusan diberikan. 

“Dengan perancangan, reka bentuk, pembinaan dan penyelenggaraan yang betul, pembangunan itu boleh menjadi selamat sebagaimana pembangunan lain,” katanya.

UPG MBPP ditugaskan untuk mengkaji semula laporan geoteknikal dengan menjalankan pemeriksaan dan keadaan tanah, dan memastikan projek dijalankan dengan garis panduan keselamatan dan amalan kejuruteraan yang baik.

UPG turut memantau pematuhan ketika pembinaan dengan mengkaji semula laporan audit dan melawat tapak pembangunan lereng bukit apabila perlu. Ia turut menjalankan atau mencadangkan langkah pengairan untuk tanah buit sedia ada, dan memberi nasihat sokongan kepada kuari dan kawasan pertanian di lereng bukit.

Sementara itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, pendengaran Suruhanjaya Siasatan insiden tanah runtuh di Lorong Lembah Permai 3 akan dibuka kepada umum.

Katanya skop siasatan sudah diperluas dan diperhalusi oleh pengerusi suruhanjaya Yeo Yang Poh sejak beiau dilantik minggu lalu.  – 1 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen