Cara ambil alih kuil pelik, kata MIC Pulau Pinang


Ravin Palanisamy

Kuil Sri Mangalanayagi Amman, Bukit Tengah di Pulau Pinang jadi tumpuan selepas isunya ditangani dengan cara pelik, menurut MIC. – Gambar ehsan Sri Mangalanayagi, 4 Januari, 2020.

TINDAKAN Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) untuk mengambil alih pengurusan bermasalah Kuil Sri Mangalanayagi Amman, Bukit Tengah di Pulau Pinang pelik, kata Pengerusi MIC Pulau Pinang M Nyanasegaran.

Tindakan pengambilalihan itu dibuat selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran kuil itu pada Ogos tahun lepas kerana salah urus.

RoS kemudian meminta PHEB diketuai Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy untuk mengambil alih pengurusan kuil itu.

Nyanasegaran berkata pendaftaran kuil itu di bawah RoS adalah menurut peruntukan undang-undang Akta Pertubuhan 1966 dan bukannya akta lain.

Katanya, menurut akta tersebut, aset kuil sepatutnya diserahkan kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dan bukannya PHEB, menambah yang MdI sepatutnya memegang aset berkenaan sehingga isu itu selesai.

“Ada yang tak kena dengan isu Kuil Mangalanayagi Amman. Jika pendaftaran kuil dibatalkan, maka pengambilalihan oleh Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang kelihatan sangat pelik.

“Jika mana-mana pertubuhan dibatalkan pendaftaran, maka harta dan aset sepatutnya diserahkan kepada Jabatan Insolvensi. Ia juga sepatutnya terpakai kepada kuil juga.

“Jadi dalam kes ini, sehingga isunya diselesaikan, aset sepatutnya dipegang Jabatan Insolvensi, bukannya PHEB,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Nyanasegaran juga berkata Akta Pertubuhan 1966 sepatutnya mengatasi Ordinan Wakaf Hindu 1906.

“Akta Pertubuhan diperkenalkan pada 1966, selepas Mereka. Secara teknikalnya, ia sepatutnya mengatasi Ordinan Wakaf Hindu 1906,” katanya.

Kekecohan tercetus apabila pengambilalihan dilakukan, polis sudah menahan enam orang kerana merusuh. – Gambar ehsan Sri Mangalanayagi, 4 Januari, 2020.

Selaku satu-satunya lembaga wakaf hindu di Malaysia, Nyanasegaran juga meluahkan rasa tidak puas hati dengan cara masalah kuil Pulau Pinang ditangani.

“Hanya di Pulau Pinang kita ada PHEB. Negeri lain seperti Kedah, Perak dan lain tak ada. Jadi, ada peraturan berbeza untuk Pulau Pinang dan negeri lain.

“Jadi, adakah Ramasamy akan pergi masuk campur dengan isu kuil di negeri lain,” tanya pemimpin MIC Pulau Pinang itu lagi.

Pada 24 Disember tahun lepas, kekecohan tercetus apabila Ramasamy dan pegawai PHEB melawat kuil tersebut untuk mengambil alih pengurusan.

Menurut Ramasamy, wujud cubaan menghalang mereka memasuki kuil sehingga kekecohan berlaku. Beliau mengaitkan individu terlibat dengan bekas pengurusan kuil.

Polis sudah menahan enam orang kerana merusuh. Semua mereka dibebaskan dengan ikat jamin. – 4 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen