Ramasamy biadab, kata pentadbir kuil


Ravin Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy dan pasukan didakwa bertindak kurang ajar dan biadab ketika operasi mengambil alih Kuil Sri Mangalanayagi Amman di Bukit Tengah, Pulau Pinang. – Gambar ehsan Sri Mangalanayagi Amman , 4 Januari, 2020.

SEORANG bekas pegawai sebuah kuil di Pulau Pinang mengecam Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) P Ramasamy yang menggelarkan mereka sebagai “samseng”.

Sekar Kandasamy, bekas presiden Kuil Sri Mangalanayagi Amman di Bukit Tengah berkata kekecohan pada 24 Disember lalu berlaku kerana pegawai PHEB, termasuklah Ramasamy, menggunakan kekerasan masuk ke dalam kuil tersebut.

Tambahnya, pegawai PHEB juga biadap dan kurang ajar kerana memakai kasut di dalam kuil sehingga mencetuskan kekecohan itu.

“Walaupun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sudah meminta PHEB untuk mengambil alih kuil tersebut, ada cara lebih baik untuk menanganinya.

“Tiada notis diberikan kepada kami tentang lawatan mereka. Kami hanya tahu menerusi mesej WhatsApp yang dimajukan.

“Kebanyakan orang Hindu tahu yang kuil ditutup selepas pooja (sembahyang). Kuil ditutup pada jam 12 tengahari dan dibuka semula pada 6 petang. Bila mereka tiba pada sekitar 3 petang, saya beritahu mereka yang kuil ditutup tetapi mereka tak dengar dan masuk juga.

“Mereka pecahkan tiga mangga dan pakai kasut dalam kuil. Tindakan itu cetuskan kekecohan,” kata Sekar kepada The Malaysian Insight.

Enam orang ditahan kerana merusuh dan dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok.

Sekar berkata lima daripada mereka adalah bekas ahli jawatankuasa kuil dan seorang lagi ialah remaja yang datang membantu kerja-kerja kuil.

Pendaftaran Kuil Sri Mangalanayagi Amman di Bukit Tengah RoS kerana wujud salah laku pengurusannya. – Gambar ehsan Sri Mangalanayagi Amman , 4 Januari, 2020.

Jawatankuasa Kuil Sri Mangalanayagi Amman dibatalkan pendaftaraannnya oleh RoS pada Ogos lepas kerana salah urus, dan PHEB diminta mengambil alih pengurusan kuil itu.

Langkah itu diluluskan kerajaan Pulau Pinang pada Oktober 2019 dan diperkenan oleh Gabenor Abdul Rahmah Abbas berdasarkan peruntukan dalam Seksyen 4 Ordinan Wakaf Hindu 1906.

Ramasamy yang juga timbalan ketua menteri Pulau Pinang II, sebelum ini dilaporkan berkata “pengacau dan samseng” menghalang PHEB daripada mengambil alih kuil bermasalah itu.

Beliau merujuk kepada kekecohan berlaku pada 24 Disember lalu, apabila beliau dan pegawai PHEB pergi ke Kuil Sri Manglanayagi untuk mengambil alih pengurusan kuil.

“Saya mengetuai pasukan PHEB bertujuan mengumumkan pengambilalihan pengurusan kuil oleh PHEB,” kata Ramasamy.

“Memandangkan Kuil Sri Manglanayagi di bawah pengurusan PHEB, diputuskan beberapa pegawai, termasuk saya, melawat kuil itu untuk mengumumkan pengambilalihan dan pelantikan ahli jawatankuasa baharu.”

Tambahnya, terdapat cubaan menghalang mereka memasuki kuil itu dan ia berjaya diatasi dengan memecah masuk pintunya.

“Sebelum kami membuat pengumuman, kekecohan tercetus. Beberapa orang, saya boleh kata mereka ini samseng, yang ada hubungan dengan bekas pengurusan kuil cuba menghalang kami daripada bercakap.”

Ramasamy juga berkata pendaftaran kuil itu dibatalkan kerana salah urus dana.

Tambahnya, pegawai PHEB akan melawat kuil itu lagi dalam masa terdekat untuk menyelia peralihan kuasa kepada jawatankuasa baharu.

Polis menahan enam orang kerana kekecohan di kuil, mereka dijangka didakwa kerana merusuh.  – Gambar ehsan Sri Mangalanayagi Amman , 4 Januari, 2020.

Sekar bersetuju dengan dakwaan salah urus dana mencecah RM100,000 tetapi berkata perjanjian sudah dibuat dengan pemegang amanah kuil untuk menyelesaikan isu itu.

Katanya lagi, bekas jawatankuasa juga tidak diberi peluang merayu keputusan RoS.

“Pada 2013, bendahari kuil ketika itu tidak dapat menyediakan rekod akaun yang baik tentang kehilangan dana tetapi bersetuju bertanggungjawab sepenuhnya. Oleh itu, beliau membuat perjanjian dengan pemegang amanah, dan pada 2018 mula membayar RM1,000 sebulan.

“Setakat ini, beliau sudah bayar hampir RM20,000 tetapi tidak dapat berbuat demikian lagi kerana pembatalan pendaftaran.

“Kami ada hantar surat rayuan selepas dapat tahu ada tindakan mahu membatalkan pendaftaran kuil tetapi tidak terima sebarang jawapan,” katanya.

Sekar berkata jawatankuasa terdahulu juga meminta PHEB membenarkan mereka menyiapkan kerja ubah suai kuil dan mengadakan kumbhabhishekam - sebuah majlis yang diadakan 12 tahun sekali oleh kuil Hindu.

Katanya, walaupun akaun kuil sudah dibekukan, mereka mempunyai penaja yang membantu menyiapkan kerja ubah suai.

Sekar juga berkata selepas kumbhabhishekam, mereka akan mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) dan menyerahkan pengurusan kuil kepada ahli jawatankuasa baharu yang dipilih. – 4 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen